Pengguna tiada pilihan terpaksa beli beras import

- Advertisement -

PELABUHAN KLANG: Kenaikan harga beras import menyebabkan orang ramai memilih membeli beras tempatan, namun bekalan beras tempatan sukar didapati.

Setiausaha NGO UMMAH Selangor, Mohd Yusof Abdullah berkata, beras tempatan sukar ditemui sekarang biar pun harganya tidak terjejas dengan kenaikan beras import.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya kebanyak kedai tiada stok menyebabkan pengguna terpaksa membeli beras import.

“Sekarang semakin sukar dapatkan beras tempatan. Banyak beras import di pasaran. Jenuh pusing kedai untuk membeli beras tempatan.

“Akhirnya saya terpaksa beli juga beras import 10 kilogram dengan harga RM30.90. Sejak kerajaan memperkenalkan harga baru beras, beras tempatan semakin sukar diperolehi,” katanya di sini.

Harga baharu beras import ditetapkan bermula 4 September lepas dengan kenaikan purata 80 sen bagi sekilogram.

Beras Super 5 peratus cap Anggur Biru bagi 10 kg sebelum ini harga RM27.50 namun sekarang meningkat kepada RM36.

Malah beras wangi special cap anggur kuning 10 kg sebelum ini RM38 dan sekarang RM41.

Mohd Yusof juga berkata, ada pengguna mendakwa pengilang menggredkan beras tempatan sebagai beras import untuk dijual pada harga lebih mahal.

Beliau turut bimbang kenaikan harga makanan ruji menyebabkan orang ramai terpaksa membeli beras kampit 5 kg berbanding 10 kg biarpun ahli keluarga ramai kerana kos tinggi. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

- Advertisement -