Tolak ‘Malaysian Malaysia’ dan konsep negara sekular

- Advertisement -

PAS menolak sekeras-kerasnya pendirian DAP yang masih mahu mempertahankan dasar ‘Malaysian Malaysia’ dan konsep negara sekular di negara ini.

Pendirian DAP yang dipertahankan melalui kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ini membenarkan amaran Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Awang yang telah beberapa kali menulis dalam siri artikel Minda Presiden PAS.

1. DAP Menyanggah Islam, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid025Qf1T9mdrgrnSkxDWVKhyEMYhFyve7rRPvyJQcd8G4FcwrPKtgt3t2gyGv6no7brl&id=100044222510324 
2. Bukan Islam Tidak Selamat Kalau Melampau Terhadap Islam, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0SaizZNfUoZZbwkyyHqp5un4SdSzKHS9DYnQUkdEDDSvordCFd4PCGV7hgfoRQDCAl&id=100044222510324 
3. Sekularisme Dan ‘Malaysian Malaysia’ Wajib Ditolak, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02teEgAx2Dag6L3ANhM5NYB3N9ZS9YPhCaukyspunaDt2jCq94JTC3qmuCXkh3Wbol&id=100044222510324 
4. DAP Parti Terbesar Pakatan Harapan, https://m.facebook.com/search_results/?q=+DAP+PARTI+TERBESAR+PAKATAN+HARAPAN 

Setelah memperoleh kuasa, DAP semakin lantang dan tanpa berselindung membuka topeng mereka yang kononnya menjunjung Perlembagaan Persekutuan, namun hakikatnya sedang merungkai Perlembagaan Negara ini dengan tafsiran sekuralisme mereka.

Sejarah telah menulis kepada kita pejuang kemerdekaan tanah air ini bermati-matian membebaskan negara daripada agenda sekular penjajah dan konsep kesamarataan yang menggugat kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

Dasar Malaysian Malaysia ini bukan semata-mata untuk membela kaum minoriti yang tidak pun terancam di Malaysia, tetapi lebih kepada cubaan menghapuskan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera yang dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan dan melucutkan agama dalam pemerintahan negara.

Hak kesamarataan menuntut kaum minoriti berasimilasi kepada cara hidup kaum majoriti. Konsep ini akan mendorong kepada isu diskriminasi dan perkauman yang membawa kesan lebih buruk kepada keharmonian kaum di Malaysia dan membahayakan kalangan bukan-Islam sendiri.

Konsep yang batil dan zalim ini tidak boleh dibawa masuk kembali atas apa jua alasan lebih-lebih lagi oleh parti yang terang-terangan mengganggu dan mempertikai urusan agama orang Islam. 

Konsep integrasi kaum lebih sesuai dilaksanakan di negara ini berbanding konsep asimilasi kaum kerana semua agama dan bangsa diraikan dan diberi kebebasan mengikut sempadan yang telah ditetapkan. 

PAS berpendirian mempertahankan Islam dan kedudukan Melayu yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan akan membawa keadilan kepada semua agama dan bangsa dalam pemerintahan negara Malaysia.

Sekian.

YB Ir. Ts. HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS
Ahli Parlimen Jerantut
4 September 2023 – HARAKAHDAILY 4/9/2023

- Advertisement -