Isu beras: Menteri jangan lupa turun padang

- Advertisement -

BEBERAPA hari lalu, BERNAS mengumumkan peningkatan harga beras putih import daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik.

Kenaikan keseluruhan tersebut adalah RM850 per tan metrik sekali gus mencatatkan sejarah baharu di bawah pentadbiran PH yang terkenal dengan formula turun harga barang. 

Turunnya tidak, naiknya pula berlipat kali ganda. 

Barangkali akan ada ‘intermediate’ formula seperti jangan makan beras import jika harga beras import mahal. 

Harga beras Super Special Tempatan (SST) iaitu gred hancur 5 peratus sememangnya masih di bawah kawalan harga Kerajaan sebagaimana ditetapkan dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994. 

Namun, isunya adalah bekalan beras SST yang semakin jarang ditemui. 

Usahkan orang awam, pemilik Mydin Hypermarket, Datuk Ameer Ali Mydin sendiri mempersoalkan di mana bekalan beras putih tempatan yang seharusnya memenuhi ruangan penjualan beras di pasar raya. 

Malangnya, beliau sendiri mengakui bekalan beras tempatan berkurangan dan sukar mendapatkan bekalannya. 

Akhirnya, pengguna terpaksa memilih beras putih import yang dijual berkali ganda dengan unjuran RM39 bagi 10kg pada minggu hadapan. 

Harga semasa Super Special Import (SSI) juga sudah mencecah RM33 bagi 10 kg. 

Menteri usah melihat isu ini sebelah mata. Turun padang dan nilai sendiri bagaimana beras SST sangat berkurangan dalam pasaran.

Apakah kita berdepan dengan masalah sesetengah pihak ‘menyorok’ barangan, apatah lagi ‘mengubah’ beras tempatan kepada beras import bagi menikmati harga yang lebih lumayan? 

Ini persoalan yang wajar ditangani oleh Kementerian. 

DATO’ AHMAD YAHAYA
Ahli Parlimen Pokok Sena. – HARAKAHDAILY 4/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -