Pilih wakil rakyat umpama pilih menantu

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani
- Advertisement -

MUAR: Memilih seseorang wakil rakyat di sesuatu kawasan adalah umpama ibu bapa memilih calon menantu, kata penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

- Advertisement -

Justeru, tegas beliau, sudah pasti ibu bapa itu bukan sahaja mahukan menantu yang dapat membawa anak perempuannya selamat di dunia tetapi sehingga ke akhirat.

“Umpama di Simpang Jeram ini ada dua orang lelaki yang masuk meminang anak dara kita yang kita diajar supaya pilih menantu yang nak masuk ini macam mana?

“Yang kita kena pilih untuk pilihan bukan hanya untuk hidup di dunia ini sahaja. Tetapi menantu kita ini jugalah yang akan bawa anak perempuan kita dan keluarga kita sampai ke akhirat nanti,” ujarnya.

Tambahnya, inilah konsep yang perlu diambil oleh penduduk sesuatu kawasan dalam memilih seseorang pemimpin.

Kata beliau, tersilap memilih pemimpin sama juga seperti kesilapan dalam memilih pasangan yang akan menyebabkan satu penyiksaan sewaktu di dunia lagi.

“Bayangkan dalam rumah tangga kalau kita silap pilih ia akan jadi siksa kita di dunia ini. Penjara yang paling besar di atas dunia ini bukan penjara Senaikah, atau penjara-penjara yang ada di dunia ini. Tidak.

“Penjara yang terbesar dalam dunia adalah bila kamu duduk dalam sesuatu keluarga, tiba-tiba keluarga kamu itu tidak dapat memberikan kedamaian dalam kehidupan kamu. Hidup kamu penuh siksa sepanjang masa,” katanya.

Kerana itu jelas beliau, begitu juga dengan kesilapan dalam memilih pemimpin yang tidak betul dan tidak memberi manfaat kepada penduduk akan menyebabkan penduduk di sesuatu kawasan itu akan menderita.

Jelasnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai adalah peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan yang tepat berbanding pilihan yang terdahulu.

Beliau berkata demikian semasa berucap di dalam majlis Ceramah Kelompok PERIKATAN NASIONAL PRK Simpang Jeram yang berlangsung di UDM Jalan Sakeh, di sini, malam ini.

Turut berucap ialah Ahli Parlimen Kuala Krai Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon PERIKATAN NASIONAL PRK Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya. – HARAKAHDAILY 1/9/2023

- Advertisement -