Lima sekeluarga maut dalam kemalangan di Segamat

Foto daripada Facebook Balai Bomba & Penyelamat Segamat.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Lima dipercayai sekeluarga maut, termasuk dua kanak-kanak dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan dua kereta di Jalan Segamat-Kuantan, dekat Taman Yayasan, Segamat, petang semalam.

- Advertisement -

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.33 petang, dan dua jentera LFRT dan satu EMRS beserta 15 anggota dikejarkan di tempat kejadian.

Setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler jenis Scania, sebuah kereta Perodua Alza dan sebuah kereta Perodua Bezza.

Beliau berkata lima mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki berusia 46 tahun, dua wanita serta dua kanak-kanak perempuan berusia 10, dan 13 tahun, dipercayai suami isteri dan anak-anak.

“Terdapat lima orang mangsa masih tersepit dalam kereta Perodua Alza. Pasukan Keluaran Operasi (PKO), bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan kesemua mereka disahkan meninggal dunia.

“Sementara itu, dua lagi dalam Perodua Alza iaitu remaja lelaki 15 tahun dan kanak-kanak lelaki lima tahun cedera. Pemandu lori juga cedera manakala tiga wanita dewasa dalam Perodua Bezza selamat,” kata beliau dalam satu kenyataan, malam tadi.

Kesemua mayat dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Segamat. Operasi tamat pada 9.34 malam tadi. – BERNAMA

- Advertisement -