Calon PN sambut Hari Kebangsaan di lokasi PRK

- Advertisement -

MUAR: Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan turut dirasai di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya bersama isteri dan petugas menyertai perarakan Merdeka Walk.

- Advertisement -

Program itu diadakan di sepanjang Jalan Temenggung Ahmad Dalam, Jalan Haji Jaib dan Jalan Sakeh di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail.

Dr Mazri berkata, beliau bersama petugas dan penduduk tempatan berarak sambil mengibarkan bendera Malaysia.

“Semua lapisan umur menyemarakkan sambutan pagi tadi. Kami juga mengagihkan bendera Malaysia dan belon kepada orang ramai di sepanjang jalan yang dilewati,” katanya pada catatan laman sosialnya.

Calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar turut merakam ucapan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66.

“Semoga negara kita sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya yang mengetuai konvoi Hari Kemerdekaan di Blok B Sri Dewi PPR Kempas Permai.

Suasana sambutan Hari Kebangsaan di kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai.

Malam tadi, beliau beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di Pasar Malam Taman Dahlia.

Pada sebelah petang, Zulkifli menunaikan solat di Masjid Jamek, Taman Perling di samping bersama Biro Hal Ehwal Wanita (Helwa) Masjid Taman Perling.

Di masjid itu, beliau dan isteri turut mengikuti ceramah agama disampaikan Ustaz Taufik Khamis.

“Helwa Masjid Taman Perling memang aktif dengan pelbagai aktiviti, Alhamdulillah syukur kami dikelilingi orang yang baik-baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2023

- Advertisement -