PN Selangor bentuk Jawatankuasa Portfolio

- Advertisement -

SHAH ALAM: PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor bersetuju membentuk Jawatankuasa Portfolio melibatkan bidang-bidang utama yang diketuai oleh sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan ADUN berkenaan adalah berdasarkan kepakaran dan kemahiran masing-masing

- Advertisement -

“Struktur Jawatankuasa Portfolio akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pre-Council ADUN PN di Shah Alam, petang semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Naib Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dalam catatannya di laman sosial Facebook, Mohamed Azmin berkata mesyuarat itu turut bersetuju untuk mewujudkan Sekretariat ADUN yang akan menjadi platform untuk membantu mereka berfungsi dan bertindak dengan lebih berkesan, terutama ketika Sidang DUN akan datang.

Beliau berkata, sekretariat itu akan menjadi penyelaras dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta.

“Banyak keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini demi mewujudkan blok pembangkang yang kuat, efektif dan bertanggungjawab untuk kepentingan rakyat dan negeri Selangor,” katanya.

Dalam PRN Selangor lalu, PN membuat kejutan besar dengan memenangi 22 daripada 56 kerusi DUN.

Sementara itu, katanya mesyuarat bersetuju untuk mengadakan permukiman ADUN pada September ini untuk meneliti dan mendalami pelbagai aspek perundangan dan tatacara perjalanan Sidang DUN dan juga memantapkan penyertaan 22 ADUN PN dalam sesi perbahasan dan soal jawab.

Katanya, ini penting demi membawa suara rakyat Selangor dan mengemukakan pelbagai penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang. – HARAKAHDAILY 30/8/2023

- Advertisement -