Ambalat: Kerajaan perlu dedah dokumen perjanjian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak kerajaan membentang kandungan dokumen perjanjian secara telus di Parlimen bagi merungkai isu Ambalat yang dibangkitkan beberapa pihak.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, penting kerajaan mendedahkan kandungan perjanjian yang dimeterai kerana isu Ambalat melibatkan kedaulatan, keselamatan, kepentingan ekonomi serta hubungan antarabangsa dua hala Malaysia-Indonesia.

Katanya isu Ambalat pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Bharu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jun lepas.

“Bagaimanapun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan jawapan yang meyakinkan berkaitan isu tersebut.

“Isu serupa juga diketengahkan ADUN Tungku Assaffal Alian di DUN Sabah baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Pada sidang DUN Sabah 10 Ogos lepas, Tungku Assaffal mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Malah bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan kerajaan memanggil Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menjelaskan berhubung isu Triti Laut Sulawesi antara Malaysia–Indonesia.

Bagaimanapun pada 15 Ogos lalu Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin menjelaskan Triti Laut Sulawesi ditandatangani Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan blok Ambalat tetapi membabitkan sempadan separa laut wilayah di Laut Sulawesi.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah muncul pada 1979.

Peta perairan di perairan terbabit menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia, namun Indonesia membantah.

Mohd Zai juga berkata, tindakan Perdana Menteri tergesa-gesa menandatangani beberapa perjanjian termasuk mengenai persempadanan laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka pada 8 Jun lalu dipertikai.

“Mengapa begitu tergesa-gesa menandatangani penyelesaian isu berkenaan sedangkan ia sepatutnya diteliti dengan mendapatkan nasihat pakar daripada pelbagai pihak.

“Keputusan kerajaan mengenai Ambalat melibatkan masa depan negara yang akan memberi kesan kepada kepentingan negara,” katanya.

Sementara itu menurut laporan eksklusif CNBC 13 Julai lepas, Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat.

Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia, Tutuka Ariadji dilapor berkata, Indonesia dan Malaysia akan menjalankan ‘desk study’ mengenai cari gali minyak di Ambalat. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -