Kemenangan jadikan Islam agama yang kuat

- Advertisement -

TAMBUN: Allah SWT telah berjanji memberikan kemenangan kepada orang beriman dan menjadikan Islam sebagai satu agama yang kuat.

Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Md Salleh Said berkata demikian ketika menyampaikan taujihat di dalam Ijtimak Khas bulanan PAS kawasan Tambun di samping majlis kesyukuran dan meraikan petugas pilihanraya di Markaz PAS Tambun, semalam.

Menurutnya, PAS merupakan sebuah parti yang telah lama di medan politik dan melalui pelbagai ranjau dalam perjuangan antaranya hilang deposit, tidak memiliki kerusi dan lain-lain lagi. 

- Advertisement -

Namun pada hari ini, katanya, PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) terus mengorak langkah dengan penuh bergaya ke hadapan melalui kemenangan besar dalam Pilihanraya Negeri (PRN) khsusnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah baru-baru ini. 

“Hari ini (sekarang), Allah SWT telah memberikan apa yang (telah) dijanjikan-Nya. Namun persoalannya, kita perlu faham kenapa Allah SWT  meganugerahkan kemenangan?

“(Kerana) kita ambil pendekatan Rasulullah SAW iaitu politik dakwah. Apa yang kita perjuangkan, (semua) merujuk kepada nas, dan kaedah Rasulullah SAW. Kita (juga) istiqamah. Itu sebab kita kuat dan diberikan pertolongan oleh Allah SWT,” jelasnya. 

Bukan itu sahaja, malah Ustaz Salleh menegaskan bahawa PAS semakin ampuh dan kukuh di medan politik hari ini kerana parti itu bergerak di atas realiti, bukannya sekadar membina persepsi-persepsi seperti pihak yang lain.

Selain itu, tambah beliau, PAS memiliki kebijaksanaan pimpinan bagi merangka strategi yang kadang-kadang gagal difahami oleh sebahagian pimpinan dan juga ahli sehingga akhirnya mereka gugur dari perjuangan. 

“Mereka tidak boleh beza perkara mutaghayyirat (strategi) dan perkara sawabit (teras) perjuangan itu. Dengan pendekatan yang dilakukan kepimpinan kita ini lah terus menjadikan PAS unggul bersama teras perjuangan. 

“Tak perlu kita gugurkan teras tersebut atau menggadaikan teras itu. PAS tetap segar, diminati dan utuh. Inilah kebijaksanaan pimpinan kita dalam merangka strategi yang pelbagai,” katanya.

Terdahulu, PAS Tambun dan PAS Gopeng telah bertungkus lumus membantu gerak kerja kemenangan calon PN Hulu Bernam, Selangor dengan menghantar petugas sepanjang tempoh berkempen dan di hari pilihan raya. 

Pada 12 Ogos lalu, calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Muiz Mahyuddin telah berjaya memenangi kerusi itu dengan 10,718 undi dan jumlah majoriti 669, sekali gus mencatat rekod julung-julung kalinya PAS menang di kubu kuat Barisan Nasional itu.

- Advertisement -