Penyokong Chelsea perlu yakini pemulihan kelab

- Advertisement -

Mauricio Pochettino menggesa penyokong Chelsea untuk meyakini proses pemulihan kelab itu selepas pasukannya tumbang 3-1 di tempat lawan kepada West Ham United dalam Liga Perdana, semalam.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Paris St Germain dari Argentina itu menyahut cabaran besar di Stamford Bridge untuk membentuk identiti baharu skuad yang menelan belanja besar

- Advertisement -

Lapan pemain yang ditandatangani dengan harga sekitar 325 juta Pound (AS$414 juta) sejak tiba pada musim panas ketika Chelsea cuba mencipta kebangkitan semula kelab itu selepas hanya menduduki tempat ke-12 musim lalu.

Antara pemain baharunya, Moises Caicedo dari Brighton yang bayarannya memecahkan rekod Britain, diberikan penampilan sulung di bangku simpanan, tetapi Chelsea kekal hanya mendapat satu mata daripada dua perlawanan pembukaan mereka.

Terjahan tergesa-gesanya dalam kawasan penalti terhadap Emerson pada masa kecederaan memberi peluang kepada Lucas Paqueta untuk melengkapkan kemenangan West Ham melalui sepakan penalti dan dia tidak melakukan kesilapan.

Chelsea hanya memenangi satu daripada 14 perlawanan terakhir Liga Perdana dan kini tewas dalam empat derbi London berturut-turut, tetapi Pochettino tidak akan mula panik.

“Ini bola sepak. Pasukan seperti kami perlu mendapatkan keseimbangan yang betul. Saya fikir hari ini ada beberapa aksi yang kami tidak uruskan dengan baik dan kami akur,” kata Pochettino kepada Sky Sports.

“Secara keseluruhan bola sepak adalah permainan yang sukar untuk dijelaskan. Anda memiliki penguasaan bola, anda mencipta dan mungkin anda adalah pasukan yang lebih baik, tetapi akhirnya kalah.”

Chelsea memiliki 75 peratus penguasaan di Stadium London, melakukan 17 percubaan ke gawang dan 706 hantaran berbanding West Ham 225.

Namun, selain gol yang diambil dengan sangat baik oleh Carney Chukwuemeka, mereka tidak menunjukkan apa-apa, termasuk Enzo Fernandez terlepas penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

“Memang kecewa apabila terlepas sepakan penalti. Kami bermain dengan baik dan tidak mendapat ganjaran,” kata Pochettino.

“Kecewa tetapi ini hanya permulaan. Kami perlu percaya pada proses itu. Saya fikir kami akan menjadi lebih kuat dan benar-benar berdaya saing.”

Bagi West Ham, keputusan perlawanan menunjukkan kelab itu boleh mengelak daripada menghabiskan satu lagi musim untuk berada di zon penyingkiran seperti musim lalu.

James Ward-Prowse memberi impak segera pada penampilan sulungnya, mencipta dua gol pembukaan untuk Nayef Aguerd dan Michail Antonio. Walaupun Aguerd dibuang padang pada pertengahan babak kedua, daya tahan West Ham menyerlah.

“Kami bertahan di sana dan dengan hanya 10 pemain, mendapat satu lagi gol Dan tiga mata,” kata pengurus David Moyes. – REUTERS

- Advertisement -