Duta Besar Iran lawat projek transformasi DiRaja Perlis

Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Ali Asghar melawat Projek Transformasi DiRaja Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, Perlis pada 16 Ogos 2023.
- Advertisement -

KANGAR: Duta Besar Iran, Ali Asghar Mohammadi menyatakan rasa gembira kerana berpeluang melawat dan berinteraksi dengan penduduk setempat di Projek Transformasi DiRaja Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Beliau memaklumkan demikian selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melawat perkampungan unik dan menarik yang dihiasi dengan rumah yang dicat dengan penuh warna-warni itu.

- Advertisement -

Hujan yang agak lebat ketika lawatan itu tidak menghalang Tuanku Syed Faizuddin Putra untuk menjalankan tanggungjawab Baginda dalam  menyantuni golongan asnaf yang memerlukan.

Baginda turut berkenan untuk menyampaikan RM700 secara tunai dan “Kit MAIPs Peduli’ berupa bahan makanan mentah kepada tiga keluarga terpilih di kawasan kampung itu sambil disaksikan Ali Asghar dan  tetamu lain yang hadir.

Turut mengiringi ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Ali Asghar dan delegasinya berada di Perlis sempena lawatan kerja yang padat dengan program selama dua hari pada 14 dan 15 Ogos 2023 termasuk membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, perbincangan kerjasama dua hala dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), perbincangan dengan MAIPs serta menyampaikan syarahan umum antarabangsa juga di UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan delegasi dari Iran tidak ketinggalan menaiki ‘Choley’,  motosikal beroda tiga yang cukup dikenali di negara Thailand untuk melawat kawasan yang menarik di sekitar kampung itu. 

Antara tempat menarik yang dikunjungi adalah Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Laman Bunga Raya dan Anjung Persinggahan Diraja.

Ali Asghar turut tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri makanan tempatan seperti laksa, dodol, aiskrim Malaysia dan lain-lain lagi.

Sehubungan itu, Ali Asghar dalam ucapannya melahirkan rasa kagum akan kepemimpinan Tuanku Pemangku Raja yang telah berjaya mentransformasi sebuah kampung nelayan biasa  itu sebelum ini.

Melalui kerjasama pelbagai agensi khususnya MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan sokongan padu daripada masyarakat setempat, kampung tersebut kini berubah menjadi salah satu lokasi menarik di negeri Perlis, yang semakin menjadi sebutan dan tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Walk-the-talk (Amalkan apa yang diucapkan adalah satu-satunya cara untuk mengubah minda dan sikap penduduk tempatan,” katanya.  – HARAKAHDAILY 17/8/2023

- Advertisement -