Terima kasih rakyat terus sokong PN sejak PRU15

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan raya enam negeri sudah berakhir dengan PERIKATAN NASIONAL (PN) telah mencatatkan keputusan cemerlang.

- Advertisement -

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN berjaya mengekalkan penguasaan tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu serta menafikan kemenangan dua pertiga PH-BN di Selangor selain menapak kukuh di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang terus kekal menyokong gabu sejak daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi yang memilih semula PN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak itu.

“Sokongan ini sudah pasti menguatkan lagi keazaman PN untuk terus berjuang dan bekerja kuat bagi membela nasib rakyat dan menjadikan negara ini lebih baik, insya-Allah,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.

Presiden Bersatu itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengurus perjalanan pilihan raya kali ini dengan baik serta agensi-agensi keselamatan iaitu polis dan tentera serta sukarelawan yang menjaga keselamatan awam sepanjang tempoh kempen sehingga hari mengundi.

“Kepada para penyokong, pendukung serta seluruh jentera parti, terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan.

“Kejayaan yang dikecapi ini tidak mungkin dicapai tanpa curahan keringat dan pengorbanan kalian,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pagoh. – HARAKAHDAILY 15/8/2023

- Advertisement -