Gelombang PN membadai Negeri Sembilan

Bangunan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Seremban.
- Advertisement -

Ketika tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akhir tahun lalu, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya negeri yang tidak terkena badai PERIKATAN NASIONAL (PN).

Malah, kerusi Parlimen Kuala Pilah yang disandang Datuk Eddin Syazlee Shith dari Bersatu dalam PRU14 terlepas ke tangan Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, adakah tsunami sama akan melanda Negeri Sembilan? Adakah dengan landskap politik nasional yang sudah berubah juga akan memberi kesan terhadap keputusan PRN di Tanah Beradat ini.

Berbeza dengan pilihan raya sebelum ini, BN kini berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah, suatu senario pelik yang tidak pernah dijangka sebelum ini.

Berdasarkan perubahan ini, keputusan PRU15 akhir tahun lalu, tidak lagi boleh dijadikan ukuran untuk membuat unjuran terhadap keputusan PRN di Negeri Sembilan.

Penerimaan pengundi akar umbi

Menjelang pengundian esok, antara cabaran utama pakatan politik PH-BN ialah penerimaan pengundi akar umbi Umno sebagai teras BN untuk memangkah lambang PH. Memandangkan BN hanya bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), suka atau tidak, pengundi yang sebelum ini memangkah BN berhadapan dilema di 19 DUN lain yang ditandingi PH.

Bukan mudah untuk pengundi Umno mengundi PH kerana undi yang diberikan itu bermakna undi untuk DAP, parti yang ditentang keras pemimpin dan ahli Umno sejak dahulu. Jika tidak mengundi PH, ke manakah undi itu akan pergi. Kemungkinan yang berlaku ialah sama ada tidak keluar mengundi, undi rosak atau memilih PN!

Begitu juga sebaliknya, penyokong PH berasa janggal untuk mengundi dacing, lambang BN, gabungan parti yang dikaitkan dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Apakah pilihan mereka?

Kebolehpindahan undi antara penyokong PH dan BN kekal sebagai cabaran utama kepada kedua-dua gabungan, iaitu memastikan penyokong akar umbi mereka untuk menyokong rakan gabungan yang lain.

Pakatan politik PH-BN yang jelas hanya untuk menghadapi PRN juga menimbulkan perasaan tidak puas hati akar umbi dalam PH. Sebagai contoh, Amanah terpaksa melepaskan DUN Lenggeng kepada BN dalam PRN kali ini sedangkan parti itu menang di situ pada PRU14. Adakah penyokong Amanah akan mengundi BN di Lenggeng?

BN di Negeri Sembilan juga terpaksa bertanding di kerusi majoriti Melayu luar bandar dan melupakan kerusi bandar seperti Ampangan, Paroi dan Sikamat yang suatu ketika dahulu adalah kubu kuat BN. Satu-satunya parti paling beruntung ialah DAP kerana dapat bertanding di kerusi pilihan parti itu apabila parti komponen BN, MCA dan MIC memilih tidak bertanding.

Kemelut dalaman

Keputusan penyandang kerusi DUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, bertanding sebagai calon Bebas, mendedahkan kemelut dalaman PKR yang telah lama berakar umbi.

Mantan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, dilihat sebagai antara anggota pentadbiran kerajaan negeri lalu yang mempamerkan prestasi baik.

Projek pembangunan yang dibawanya ke Ampangan seperti pembinaan Pasar Moden Ampangan, Kompleks Komuniti Ampangan menggantikan Balai Penghulu yang uzur, jejantas Ampangan yang menghubungi Bangunan UTC – Benteng Ampangan dan Dataran Ampangan, adalah antara buktinya.

Namun, pergeserannya dengan Menteri Besar yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun, kini bukan lagi rahsia apabila beliau mendakwa namanya tidak disenaraikan sebagai calon susulan arahan Aminuddin. Menteri Besar pula mendakwa Mohamad Rafie tidak menghormatinya sebagai pemimpin utama kerajaan negeri.

Lambang pokok yang menjadi pilihan Dr Mohamad Rafie sebagai calon Bebas, jika menang dalam PRN adalah suatu keajaiban, tetapi jika tidak menang sekali pun, undi protes boleh menggugat PKR di Ampangan.

Amanah walaupun hanya bertanding tiga kerusi, tidak terlepas dari kemelut dalaman apabila Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, digugurkan daripada bertanding di DUN Paroi dan digantikan oleh Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat.

Walaupun Mohamad Taufek yang bertanding di DUN Paroi sejak tiga penggal lalu, kelihatan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan turut hadir ketika hari penamaan calon, penyokongnya kelihatan sukar menerima keputusan itu. Malah, dilaporkan kira-kira 15 ketua cawangan Amanah di Paroi, membayangkan tidak akan keluar mengundi jika Taufik tidak bertanding.

Pemimpin PERIKATAN NASIONAL ketika mengumumkan calon gabungan parti itu di Seremban.

Cabaran PERIKATAN NASIONAL

Di atas kertas, pakatan PH-BN mempunyai kelebihan berbanding PN, namun penganalisis politik Akademi Penyelidikan Sratategik Nusantara, Azmi Hassan, mengingatkan bahawa cabaran PN tidak boleh dipandang mudah.

Walaupun PN tidak memenangi sebarang kerusi di Negeri Sembilan di Parlimen dalam PRU15, katanya senario politik telah jauh berubah.

“Beberapa isu yang diperjuangkan PN menyebabkan keadaan tidak lagi sama dan ini perlu diambil kira oleh PH-BN jika mahu muncul sebagai pemenang dalam PRN,” katanya.

Tinjauan Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) dalam kalangan pengundi di Selangor dan Negeri Sembilan mendapati hanya 34 peratus responden menyatakan mereka gembira PH bekerjasama dengan BN dan 31 peratus responden menyatakan mereka tidak berpuas hati PH bekerjasama dengan BN.

Penemuan fakta ini menunjukkan bahawa penerimaan pengundi terhadap kerjasama PH dan BN masih berada di tahap yang rendah.

Menurut kajian Insap, PN berupaya memenangi lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan dengan syarat mampu membawa pengundi BN memangkah gabungan itu dan walaupun bukan tugas mudah, banyak perkara yang berlaku selepas sembilan bulan PRU15 berlalu.

Rakyat kini lebih mengutamakan isu roti dan mentega (bread and butter), iaitu apa yang hendak dimakan hari ini, esok dan seterusnya. Kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan keperluan, terutama makanan menyebabkan perasaan tidak puas hati terhadap Kerajaan Perpaduan semakin meningkat.

Hasil tinjauan yang dibuat oleh Ilham Centre, bulan lalu, mencadangkan hanya satu daripada empat orang Melayu atau kira-kira 24 peratus di negeri yang mengadakan PRN esok, berpuas hati dengan prestasi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengakui PN yang kali pertama bertanding di semua DUN akan turun sebagai `underdog’ (bukan pilihan).

Namun, beliau melahirkan keyakinan gabungan parti politik itu mampu membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas PRN.

Keyakinan ini bukan hanya retorik, tetapi bersandarkan sambutan hebat penduduk Negeri Sembilan sendiri untuk melihat tsunami politik PN yang sebelum ini tidak cukup kuat membadai, kali ini menolak PH-BN dari puncak kuasa. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

Keputusan Dewan Undangan Negeri PRU14

Jumlah kerusi: 36

PH: 20 kerusi (DAP-11, PKR-6, Amanah-3)

BN: 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-1).

- Advertisement -