Chelsea disiasat langgar peraturan kewangan

- Advertisement -

Liga Perdana sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran peraturan kewangan membabitkan Chelsea ketika dimiliki Roman Abramovich, Ketua Pegawai Eksekutif liga itu, Richard Masters memberitahu akhbar Britain, Times, semalam.

Abramovich menjual kelab itu tahun lalu kepada kumpulan pelaburan diketuai ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS), Todd Boehly dan Clearlake Capital selepas aset oligarki Rusia di Britain dibekukan oleh kerajaan United Kingdom (UK) berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

- Advertisement -

Pemilik baharu Chelsea melaporkan beberapa transaksi kewangan semasa era Abramovich kepada badan induk bola sepak Eropah, UEFA, Liga Perdana dan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA).

“Kami cukup terbuka mengenai isu bersejarah berkaitan Chelsea kerana mereka melaporkan sendiri kepada Liga Perdana dan FA, jadi jelas sekali kami sedang menelitinya,” kata Masters kepada akhbar itu.

“Jika Liga Perdana percaya sebuah kelab telah melanggar peraturan kewangan dan ada kes untuk dijawab, kes itu akan dikemukakan terhadap kelab.”

The Times melaporkan bahawa siasatan itu merangkumi pembayaran berjuta-juta Pound kepada entiti luar pesisir yang tidak didedahkan serta kaitan dengan perantara bola sepak, yang berpotensi mengakibatkan penalti seperti denda yang besar atau potongan mata terhadap kelab.

“Kami mahu proses sewajarnya disampaikan dengan cara yang secekap mungkin, secepat mungkin,” tambah Masters.

“Bukan selalu mudah untuk melakukan perkara ini dengan cepat, tetapi kami mahu jawapan yang betul, positif atau negatif, sama ada kelab didapati bersalah melanggar peraturan atau tidak.”

UEFA mencapai penyelesaian dengan Chelsea pada Julai lalu berhubung penyerahan maklumat kewangan yang tidak lengkap, berkaitan “urus niaga sejarah” antara 2012-19, dengan kelab London itu membayar denda 10 juta Euro (AS$10.98 juta).

Chelsea yang menamatkan saingan di tempat ke-12 dalam Liga Perdana selepas kempen yang huru-hara, tidak akan bersaing di Eropah pada 2023-24. – REUTERS

- Advertisement -