GIGIH saya tengok semalam, dua YB muda berdebat, YB Rafizi Ramli (RR) dan YB Syahir Sulaiman (SS).
Tahniah untuk kedua-duanya. Berani tampil di pentas terbuka, memberi peluang seluruh Malaysia menilai idea-idea progresif mereka.
Saya tidak mahu ulas kemahiran orator siapa lebih mantap, teknik bujukan siapa lebih efektif. Sebab tujuan debat ini bukan mahu merebut trofi pendebat terhandal.
Tujuannya untuk mencadangkan satu model ekonomi baru — ke arah Malaysia yang lebih baik. Kita mahu dengar gagasan siapa lebih logik, bukan ucapan siapa paling cantik.
Struktural vs fundamental
Kata RR, masalah utama ekonomi Malaysia ialah struktural. Maka dia mencadangkan kita memperbaiki tatakelola dan proses-proses yang berkait dengan mikroekonomi (contohnya struktur penggajian pekerja, tarikan pelaburan asing dan lain-lain).
Kata SS, masalah utama sebenarnya masih lagi fundamental, bukan mengenai struktur. Maka dia mencadangkan kita menilik semula apa nilai asas yang menjadi kiblat ekonomi Malaysia (contohnya pertumbuhan kekayaan vs keadilan agihan).
RR berhujah mengenai mekanisme dan proses ekonomi yang spesifik. Bagaimana mahu mendepani hutang negara, apa cara berbelanja dengan cekap dan apa strategi memacu industri yang boleh menjana ekonomi lebih makmur, serta hal-hal sewaktu dengan ini.
SS bercakap mengenai apakah mazhab ekonomi terbaik yang mesti kita anuti. Adakah kita memberi prioriti pada pertumbuhan atau kesaksamaan. Perlukah kita peduli mengenai jurang sosial dan kesenjangan wilayah.
Dua-dua pendekatan ini ada logik tersendiri. RR dan SS, masing-masing mempunyai argumen yang valid — dalam konteks mencipta satu model baru ekonomi yang lebih baik.
Keadilan vs pertumbuhan
RR menjelaskan kaedah-kaedah spesifik berciri mikroekonomi (mohon dengar sendiri program-program top-downyang dia sebut). Naratif teras kepada idea RR adalah mengenai pertumbuhan ekonomi aras tinggi.
SS bercakap mengenai apakah nilai-nilai yang sepatutnya memacu ekonomi sesebuah negara. Dia mempersoalkan konsep kekayaan vs keadilan, juga federalism vs state empowerment. Halatuju idea SS menjurus kepada isu kesenjangan wilayah dan pengukuhan ekonomi akar umbi.
RR mahu membangunkan pertumbuhan dan kemakmuran. SS pula mahu mencari kestabilan dan keberkatan.
Dua-dua pendekatan ada kelebihan dan kekurangan tersendiri, dalam usaha mencitrakan Malaysia yang lebih baik. Kalau ekonomi tidak tumbuh dan makmur, macam mana kita mahu stabil dan berkat. Begitu juga, apa guna ekonomi kita tumbuh mencanak, kalau masih wujud kesenjangan wilayah dan jurang sosial.
Kes klasik ‘telur atau ayam’ — yang mana dulu?
Berkat vs markat
Persoalannya, dalam konteks Malaysia sekarang — gagasan siapa yang lebih saya persetujui? Selaku warga yang terpinggir di wilayah marginal Borneo, saya lebih bersetuju dengan SS.
Saya setuju kita mesti mencari berkat (keadilan) ekonomi; bukan setakat mencipta markat (limpahan) ekonomi. Saya setuju kita mesti memberi prioriti pada keadilan dalam agihan, bukan setakat ketinggian dalam pertumbuhan.
Ya, saya mahu Malaysia menjadi negara dengan ekonomi seimbang; bukan negara dengan ekonomi besar.
Kelantan vs Selangor
Saya tengok banyak komen yang sinikal pada SS, bila dia mahu bercakap mengenai ekonomi — dengan mengheret situasi di Kelantan. Bah, mari kita analisis perbandingan antara Kelantan dan Selangor.
Selangor
GDP per-kapita: RM59,908Kadar kemiskinan relatif: 15.3 peratusPekali Gini (jurang pendapatan): 39.3 peratus
Kelantan
GDP per-kapita: RM16,567Kadar kemiskinan relatif: 9.9 peratusPekali Gini (jurang pendapatan): 37.9 peratus
Saiz ekonomi Selangor adalah 360 peratus lebih besar daripada Kelantan. Tetapi ironinya kadar kemiskinan relatif di Kelantan adalah 5.4 peratus lebih sedikit; dan jurang pendapatan pun 1.4 peratus lebih rendah, berbanding Selangor.
Maksudnya apa? Walaupun Selangor jauh lebih cekap dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta kekayaan negeri; namun Kelantan masih lebih efektif dalam mengagihkan kemakmuran ekonominya yang kecil itu kepada rakyat.
Ya, Selangor lebih kaya; tetapi Kelantan lebih adil. Ini adalah sandaran analogi kepada pendirian asas RR dan SS dalam debat semalam.
Konklusi
Kita mahu pilih model yang mana? Secara peribadi, saya inginkan dua-dua. Saya mahu kekayaan pertumbuhan ekonomi, dan keadilan dalam mengagihkan kemakmuran. Model terbaik tentulah RR + SS.
Tapi kalau saya terpaksa memilih hanya satu, saya akan pilih pendekatan SS.
Kamu semua mahu pilih mana? Tepuk dada, tanya selera. Tiada yang terpaling salah, tiada yang terpaling betul. Itu bergantung kepada hati masing-masing — apa yang kita rasa lebih penting dalam hidup.
Nota: Ini bukan entri politik. Tolong jangan berpolitik di sini. Ini perbahasan mengenai idea dan gagasan. Kita mahu pupuk komuniti Malaysia yang lebih celik, terbuka dan saling menghormati.
REM DAMBUL – HARAKAHDAILY 10/8/2023
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1271220569/posts/pfbid02kh6J7R4FtQ7DDWpt6DnMFrcrSKRd7bhRzim9bidwE8MRyNEtkGLwzjf8B9FSRWUkl/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Rafizi Ramli vs Syahir Sulaiman
- Advertisement -