Debat ekonomi Rafizi-Syahir: Beberapa kesimpulan  

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

Tajuk debat ‘Model Baharu Ekonomi Malaysia‘ sepatutnya memberikan kelebihan ketara kepada Rafizi Ramli untuk menguasai debat dengan YB Syahir Sulaiman semalam.

Namun bukan itu yang berlaku.

Model Ekonomi Madani hanya bersifat ‘copy and paste’

Sepatutnya sesi debat semalam menjadi pentas untuk Menteri Ekonomi menjelaskan model baharu ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan Madani setelah 8 bulan mentadbir Putrajaya, di mana sebelum ini Pakatan Harapan sering memperlekehkan model ekonomi Tun Mahathir (versi Perdana Menteri ke-4), Tun Abdullah, Datuk Seri Najib dan Tan Seri Muhyiddin semasa menjadi masih menjadi pembangkang.

Namun Rafizi rupa-rupanya tidak memiliki kelebihan itu, kerana model ekonomi Kerajaan Madani yang ada hanya lebih bersifat ‘copy and paste’ daripada dokumen-dokumen yang pernah diterbitkan oleh Bank Dunia dan IMF sahaja, sebagaimana yang didedahkan oleh YB Syahir.

‘Mengejutkan’ untuk kita dapati model ekonomi Kerajaan Madani tidak ada keunikan identiti, bahkan tidak mengambil serius kepakaran, kearifan dan inteligen tempatan dalam pembangunan model itu.

Terlalu awal memuji diri sendiri

Rafizi juga memuji setiap langkah yang diambil oleh beliau dan Perdana Menteri ke-10 (PMX) dalam menguruskan ekonomi dalam masa 8 bulan ini, termasuk langkah PMX melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan.

Hakikatnya setelah 8 bulan, pakar-pakar ekonomi masih samar mengenai apakah halatuju reformasi ekonomi oleh Kerajaan Madani dan apakah matlamat ekonomi jangka pendek dan jangka panjang yang hendak dicapai oleh mereka, dan apakah langkah-langkah ekonomi yang telah diambil oleh Kerajaan?

Bahkan tidak kelihatan pun program atau langkah-langkah progresif yang telah diambil oleh Kerajaan Madani untuk melonjakkan ekonomi negara pasca COVID-19.

Yang kita nampak dengan jelas ialah langkah Kerajaan Madani memperkenal ‘menu rahmah’ untuk rakyat menangani kos sara hidup, dan hanya setakat itu.

Hampir tidak ada apa untuk dipuji oleh pakar-pakar ekonomi, sehingga Menteri Ekonomi terpaksa mengangkat bakulnya sendiri.

Menyebut PMX sebagai ‘saudara Anwar’

Rafizi cuba menggambarkan PMX sebagai seorang yang ‘humble’ dengan menyebut PMX hanya sabagai ‘saudara Anwar’ bukan YAB Datuk Seri Anwar, panggilan mesra Anwar ketika masih di dalam ABIM lama dahulu.

Tapi semua orang tahu PMX sekarang, bukanlah PMX yang dulu. Kawan-kawan yang membela beliau dahulu, kini dianggap sebagai musuh-musuhnya yang paling ketat. Musuh-musuh yang mengaibkan beliau dahulu, kini menjadi orang-orang kanannya yang paling dipercayai.

Boleh jadi juga Rafizi cuba untuk menunjukkan betapa rapatnya beliau dengan Anwar sehingga tak perlu’ berdatuk-datuk Seri’.

Menaikkan gaji dan menghapuskan subsidi

Strategi Kerajaan Madani untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dengan cara memastikan gaji pekerja dinaikkan lagi, adalah sangat kelakar dan tidak berpijak di bumi nyata, walaupun ia sedap dijadikan halwa telinga.

Maknanya kadar gaji minimum akan dinaikkan lagi, di mana majikan terpaksa menanggung  kos pekerja yang lebih tinggi ketika keadaan ekonomi pasca COVID-19 masih sangat rapuh dan tidak stabil.

Sudahlah Kerajaan Madani sendiri masih lagi sedang bergelut menangani kelembapan ekonomi pasca COVID-19, majikan pula akan diminta menaikkan gaji.

Gaji akan dinaikkan dan subsidi pula akan dihapuskan, di mana majikan terpaksa tanggung kenaikan gaji sedangkan Kerajaan pula terlepas daripada menanggung subsidi.

Formula drastik tanpa kajian mendalam seperti ini hanya akan menyebabkan lebih ramai pekerja akan kehilangan kerja, lebih banyak perusahaan akan gulung tikar dan jurang kaya miskin akan semakin melebar.

Mengawal inflasi di atas kertas

Rafizi begitu bangga menyebutkan Kerajaan Madani telah berjaya menurunkan kadar inflasi kepada kepada 2.8 peratus.

Namun statistik itu langsung tidak mempunyai erti dengan kos kenaikan harga makanan dan barang keperluan yang semakin jelas kita rasakan mutakhir ini.

Penutup

Model ekonomi Syahir Sulaiman boleh dijadikan inspirasi kepada Kerajaan Madani untuk segera membangunkan model ekonomi Madani yang mempunyai matlamat dan halatuju yang lebih jelas, lebih mapan, berintegriti dan beridentiti, dengan programnya yang lebih jelas, serta tidak terlalu bersifat ‘atas angin’. 

Libatkanlah semua negeri dalam secara adil dalam memacu perkembangan ekonomi negara yang semakin mencabar ini.

Mungkin perbezaan politik pun ada hadnya untuk kesejahteraan bersama kita di negara yang tercinta ini.

Tahniah Astro Awani. Tahniah YB Rafizi dan YB Syahir.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -