Anak syarikat negeri untung, rakyat dapat manfaat

Dr Ahmad Samsuri jelajah seluruh negeri bertemu rakyat sempena PRN.
- Advertisement -

MARANG: Rakyat akan dapat manfaat apabila anak-anak syarikat kerajaan negeri peroleh keuntungan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Beliau pernah sebut di dalam beberapa program yang dihadiri sebelum ini bahawa urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan social corporate responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini.

Katanya, Terengganu Inc dan rangkaian anak syarikatnya telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif.

Menurutnya, antara yang telah disumbangkan oleh Terengganu Inc ialah RM1 juta penajaan 10 pelajar tempatan daripada keluarga B40 untuk program ‘YT-TI Young Talent Scholarship Programme’ dan RM300,000 untuk dilaburkan dalam usaha sama bersama UniSZA Islamic Investment Project,

Di samping itu, ujarnya Terengganu Inc menyumbang RM200,000 kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan bagi program akademik, ‘National Stem Association Chapter’ untuk program STEM (RM110,000), air percuma bagi surau dan masjid seluruh negeri (RM2.06 juta), sumbangan tablet di bawah inisiatif BERKAT 2021 (RM1 juta) dan RM1.6 juta disumbangkan dalam Krisis Air Berangan serta RM600,000 bagi Program Komuniti Ibu Tunggal di 32 DUN.

Selain itu, jelasnya jutaan ringgit juga diberikan melalui penajaan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Terengganu Football Club (TFC), NGO dan agensi lain.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Dun Ru Rendang menambah, Terengganu Inc turut aktif memberi sumbangan kepada dalam dan luar negara yang ditimpa bencana.

“Inilah yang saya selalu maksudkan bahawa rakyat akan dapat manfaat apabila anak-anak syarikat peroleh keuntungan. Alhamdulillah,” ujarnya.

Pada PRN ini, beliau berdepan dengan calon PH, Suhaimi Sulaiman di Dun Ru Rendang yang mempunyai 32,867 pengundi.

Beliau memenangi Dun Ru Rendang pada PRU14 lalu dengan majoriti 6,028 undi setelah memperolehi 13,851 undi menewaskan calon BN, Dato’ Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan PKR, Zarawi Sulong (729). – HARAKAHDAILY 10/8/2023

- Advertisement -