‘Rasmi, bina, biar terbengkalai’ bukan budaya PAS

- Advertisement -

MARANG: PAS Terengganu tidak membudayakan perangai ‘rasmi, bina, biar terbengkalai dan ulang benda yang sama’ terutama semasa menghadapi pilihan raya.

- Advertisement -

Sebaliknya kerajaan PAS penggal lalu menyelesaikan satu persatu projek gajah putih yang ditinggalkan terbengkalai oleh kerajaan sebelum itu, kata Pengarah Pilihan raya PAS negeri, Ustaz Ariffin Deraman.

“Memang tiada bangunan gah dalam lima tahun kita menjadi kerajaan negeri Terengganu namun kita tidak budayakan perangai, ‘rasmi, bina, biar terbengkalai dan ulang benda yang sama’.

“Yang mereka tinggal terbengkalai itulah kami selesaikan satu persatu dan siapkan sehingga boleh digunakan,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Justeru, katanya banyak projek gajah putih dapat selesaikan dengan berjaya di bawah pemerintahan PAS pada penggal lepas.

Menurutnya, contoh mudah yang rakyat boleh lihat ialah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dahulu dimalukan dan diberi jolokan nama ‘stadium runtuh’.

Malah, kata beliau pernah disebut suatu ketika dahulu ‘Terengganu Darul Runtuh’ kerana banyak struktur bangunan dibuat oleh kerajaan itu mengalami keruntuhan.

Sekarang, ujarnya stadium di Gong Badak itu baru-baru ini diberi pengiktirafan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk digunakan perlawanan antarabangsa.

Ariffin yang bertanding mempertahankan kerusi Dun Alur Limbat pada PRN kali ini menambah, banyak lagi contoh lain untuk dinyatakan

“Kita tidak mahu selalu mengungkit kesilapan dan ketirisan yang berlaku pada era pemerintahan pentadbiran dahulu, namun ketidakfahaman tentang yang mana kepentingan dan kehendak, tidak mampu mengimbangi yang mana fiqh aulawiyat iaitu mengutamakan perkara yang sepatutnya didahulukan berdasarkan prinsip syarak,” jelasnya yang juga Exco kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri tidak membazirkan duit rakyat sekadar hanya untuk mengikut selera untuk mendapat nama tetapi lebih memikirkan maslahat yang besar untuk rakyat.

“Kite kene faham situ,” ujarnya yang berdepan dengan calon BN, Mohd Yuseri Isa di Dun Alur Limbat yang mempunyai 36,087 pengundi.

Beliau memenangi Dun Alur Limbat pada PRU13 dengan majoriti 645 undi menewaskan calon BN dan Bebas.

Pada PRU14 lalu, beliau yang memperolehi 13,330 undi menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 4,194 undi. – HARAKAHDAILY 5/8/2023

- Advertisement -