130 NGO gesa SPRM siasat Zahid Hamidi

- Advertisement -

ZAHID Hamidi ternyata tidak boleh menahan diri daripada terus membudayakan amalan sogokan dan rasuah dalam politik di negara kita.

Selaku Presiden parti merangkap Timbalan Perdana Menteri, tindakan mengumumkan pemberian geran RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu menjelang PRN ini akan memberi kesan besar kepada index rasuah buat negara Malaysia.

Pihak kerajaan boleh menggunakan segala agensi dan jentera yang ada untuk menafikan perkara terkutuk ini namun media sosial yang pantas serta akses kepada maklumat yang tepat dan cepat pastinya akan meletakkan Zahid Hamidi di kandang kesalahan oleh netizen.

Tindakan ini juga pastinya akan mencalar imej integriti DAP dan PKR yang sedang dicabar secara hebat di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Apa yang pasti, Zahid Hamidi secara peribadi dan tindakan Zahid Hamidi ini adalah liabiliti kepada PH dan BN dalam PRN kali ini.

Insiden yang mengaibkan PH-BN ini telah mendapat tentangan secara terbuka oleh pelbagai pihak antaranya PAS, BERSATU, PN, MUDA, Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), BERSIH dan Ahli Parlimen PKR sendiri.

Terkini 130 NGO di bawah Sekretariat Ummah Terengganu turut menggesa agar SPRM mengambil tindakan segera terhadap Zahid Hamidi.

“Apa yang kami laporkan hari ini kepada SPRM mengenai ucapan Presiden Umno ketika program  Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program sentuhan kasih di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di mana beliau dengan jelas menyogok belia”.

– Wan Faizul Wan Abas, Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)

Ternyata hampir kesemua pihak yang mendukung dan cintakan demokrasi dalam negara ini mencemuh dan menolak tindakan tidak bermaruah Zahid Hamidi ini.

Hari ini mereka menggunakan jentera kerajaan untuk menjadi perisai kepada kesalahan mereka. Tetapi mereka lupa, kuasa undi rakyat pada 12 Ogos ini adalah kekuatan yang tidak akan ada perisai yang boleh menahannya.

Sekian. 

WAN MUHAMMAD ARIF WAN FARIZ
Presiden GAMIS
4 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 4/8/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -