
TANAH MERAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan memperkenalkan 18 program sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan 96 program yang bertemakan ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’.
Pengerusi PN negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, 18 program itu antara lain merangkumi pembangunan sosio ekonomi, bekalan air bersih, insaniah serta pendidikan dan kemahiran.
Turut ditawarkan program pembangunan wanita, pembangunan keluarga dan masyarakat, anak muda bermaruah, kecaknaan insan istimewa, perluasan prarasana digital dan memajukan produktiviti pertanian.
Selain itu pelestarian alam sekitar, ihtirafi tadbir urus, kesejahteraan rakyat, seni budaya dan warisan Kelantan, kesukanan dan rekreasi, mengukuhkan hubungan antara kaum, cakna perantau dan kebersamaan NGO.
Ustaz Ahmad berkata, tawaran itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang jika terus diberi mandat rakyat pada 12 Ogos ini.
“Manifesto atau tawaran ini akan dikenali sebagai program kerana ia dianggap sesuai dengan perubahan masa.
“Lebih baik kita kenalkan ia sebagai program, yang mana kita beritahu kita nak buat bukan tawaran retorik atau janji kosong sebaliknya kesemua program itu akan dilaksanakan mengikut kemampuan,” katanya selepas majlis pelancaran manifesto PN Kelantan di sini, malam tadi.
Pelancaran tawaran itu diadakan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah. Hadir sama Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Pengerusi Bersatu Kelantan, Dato’ Kamarudin Md Nor.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, tawaran pada Pilihan Raya Umum Ke-14, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 98 peratus.
“Hanya dua peratus sahaja yang tidak selesai dan perkara itu akan diteruskan sebagai kesinambungan untuk tawaran kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















