Sanusi bongkar isu wang era PH dan BN, gesa siasat

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membongkar isu kewangan terpaksa ditanggung Kerajaan Negeri Kedah yang dilakukan di era Pakatan Harapan dan Barisan Nasional memerintah sebelum ini.

Menurut beliau, semasa PH sebagai kerajaan tahun 2018-2020, Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah mengalami kerugian RM36 juta dan hutang RM149 juta, namun tiada siasatan dilakukan terhadap perkara itu.

“Pasaipa (kenapa) hang tak siasat? Hang jawab sat. RM36 juta itu aku bayar, RM149 juta tu pun aku bayar. Awat (kenapa) hang tak siasat. Dengan hutang RM149 juta campur RM36 juta, dekat-dekat RM180 juta.

“(Ini zaman) Pakatan Harapan (PH) punya kerja. Kudin sila siasat!” desak beliau yang ditujukan khusus kepada Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung PKR.

Untuk rekod, ketika era PH, pentadbiran SADA berada di bawah tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Air, Bekalan Air dan Tenaga Negeri, Dato’ Zamri Yusuf yang juga daripada PKR.

Sanusi turut membangkitkan isu di zaman Barisan Nasional (BN) iaitu pelanggaran perjanjian dengan sebuah syarikat bagi membangunkan Jerai International Park, hingga menyebabkan kerajaan negeri disaman dan dituntut RM50 juta.

“Setelah rundingan selama 30 tahun, ni tahun ni kerajaan negeri diperintah membayar RM21 juta. Awat hang tak siasat? zaman BN. Pemimpin BN buat kerja ni. La ni BN dengan PH cium mulut.

“Yang kena bayar kita, rakyat Kedah yang hidup pada hari ini kena bayar. Yang buat kerja ini Barisan Nasional. Sila siasat, dah hang rajin sangat pi siasat. Ada bercambah-cambah lagi fail dalam pejabat aku. Kalau hang nak tahu.

“Dan tidak pernah sekalipun dalam tempoh 3 tahun ni kita berhasrat, kita berniat untuk melondehkan keburukan sesiapa tapi dah hang kurang ajar, aku akan londeh hang tiap-tiap hari.

“Hangpa (kamu semua) jangan ingat, selagi ditekan, kami akan berundur,” ujarnya sekali gus sebagai reaksi kepada cabaran Saifuddin yang mendesak Sanusi menjawab tuduhan-tuduhan terkini dilontarkan Menteri itu.

Beliau juga melontarkan pertanyaan kepada bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid yang dalam beberapa hari mutakhir ini galak mendesak untuk menjelaskan beberapa tuduhan.

Menurut Sanusi, semasa BN memerintah terdapat RM13 juta wang Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dipindahkan ke akaun lain yang turut digesanya supaya dijawab dan dilakukan siasatan terhadap perkara itu.

“Dua pekerja China yang aku tak pernah jumpa, aku tak pernah kenal, aku tak pernah tahu kerana itu urusan syarikat, bukan urusan Pejabat MB (Menteri Besar). La ini aku tanya hang urusan Pejabat MB, urusan MBI mana pi RM13 juta itu? soalnya. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -