Dulu sektor ini tempat buang duit rakyat

Pertanian, penternakan dan nelayan

- Advertisement -

SEWAKTU di zaman Umno memerintah Terengganu, sektor pertanian adalah tempat mereka buang duit. Projeknya berlambak nampak macam wujud, tetapi hasilnya halimunan. Dan mungkin sebab itu juga bajet bagi pertanian saban tahun sangat sedikit diluluskan BN. Bukan ada hasilpun. Ia juga mudah untuk mengelak dari tindakan kerana gagal projek dengan alasan binatang mati, peserta malas usahakan, 

Projek-projek gagal seperti ternakan ikan di Sungai Chomor, Kenyir RM50 juta, projek-projek tanaman jagung, projek ubi gadong kebanggaan DS Ahmad Said yang boleh membesarkan payudara, projek tanaman rumput napier, projek fertigasi mega. Tidak lupa projek ternakan kambing kaprima. Termasuk juga isu nelayan yang menghadapi kekurangan hasil tangkapan kerana berbagai alasan, isu perumahan mereka dan lain-lain lagi. 

Kasihan kepada mereka yang berada dalam sektor ini, kebanyakannya adalah rakyat miskin. Mungkin bagi BN Terengganu, rakyat sejenis ini, tiada harga bagi mereka, menyusahkan. Projek yang diberikan tidak menguntungkan pimpinan Umno mungkin? Tidak segah Pulau Bebas Cukai Kenyir, bas dua alam, Drawbridge, Taman Ilmu yang menelan ratusan juta Ringgit wang rakyat.

Tetapi tidak bagi Kerajaan PAS Terengganu. Rakyat yang miskin, adalah dekat dengan mereka. Mereka ingat pesanan Saidina Abu Bakar, orang yang lemah dari kalangan kamu, adalah kuat di sisiku. Oleh itu setelah beberapa tahun memerintah dan membantu industri pertanian penternakan dan nelayan ini, Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan Tahun Pertanian 2021. Dan lebih bermakna lagi Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan 90 daripada 94 projek yang dirancang dalam Program Tahun Pertanian itu. Hasrat Kerajaan PAS, melalui bidang pertanian, rakyat mendapat manfaat sangat besar. 

Mengambil sebahagian daripada semua kejayaan projek pertanian bermula tahun 2019, mari kita imbas kembali senarai wang rakyat yang PAS Terengganu uruskan bagi projek-projek pertanian ini sehingga 2022:

1. 600 nelayan pantai dibantu diberikan lesen. 
2. Jeti konkrit baharu ganti yang kayu lama dan reput di Tok Fakir, Kampung Geliga, Kampung Fikri, dan Kampung Batin. 
3. Projek sedang berjalan, mendalamkan muara Sungai Merchang, Kuala Mangkuk dan Kuala Paka. 
4. Banyakkan melabuhkan tukun, hasil tangkapan meningkat 16.5MT (2019) 18.7MT (2021). Belanja buat tukun duit Kerajaan Negeri sendiri RM1.069 juta.
5. Projek Perumahan Semula Nelayan RM13 juta – Pusat, RM10.5 juta – Negeri. Kemaman dan 70 peratus, Besut 90 peratus sudah siap. Tiga Exco sebelum ini gagal laksanakan projek ini.
6. Selenggarakan dan bina baharu sistem pengairan, saliran, parit, longkang dalam baruh padi kerana tersumbat, tiada penyelenggaraan RM6 juta.
7. Sekarang ada empat buah kilang padi di Besut. Sebelum ini hanya dua, susahkan pesawah untuk menjual padi.
8. Berjaya naikkan kadar sara diri beras dari 42.7 peratus (2019) kepada 78.87 peratus (2022).
9. Berhasil menambah kadar pengeluaran padi/hektar ke 5.2MT/ha, iaitu kedua tertinggi di Malaysia.
10. Beberapa kawasan tanaman padi sekali setahun telah dapat digandakan menjadi dua kali setahun.
11. Dalam proses memperluaskan kawasan ‘Jelapang Padi’ dari 5000ha kepada 10,000ha.
12. Projek lada hitam dengan Syarikat McCormick bernilai RM360 juta.
13. TADC, sebuah GLC pertanian yang pernah hampir mati, penuh kegagalan, menyedut wang rakyat bagai polong menghisap darah sewaktu mula-mula PAS mengambil alih Kerajaan Negeri. Namun TADC sekarang bangkit kembali, mempunyai beberapa perjanjian, MoU dengan syarikat luar bagi kerjasama dalam pertanian. Terbaharu, kilang baja kompos dari sisa buangan kelapa sawit di Kemaman, Humus telah mengadakan MoU dengan TADC. 

TADC bukan lagi GLC hantu raya yang menyedut duit rakyat Terengganu, tetapi ia sebagai antara GLC yang telah memberikan keuntungan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Rakyat Terengganu kalau mahu melihat duit anda semua dirugikan, dibuang bodoh-bodoh dalam projek-projek pertanian yang kononnya untuk rakyat, bolehlah undi BN sekali lagi. PAS tak sanggup buang duit rakyat Terengganu.

MOHD NASIR ABDULLAH
26 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 26/7/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -