Akibat bila Melayu hilang kuasa politik pemerintahan 

- Advertisement -

SHAH ALAM: Melayu hari ini ada yang bagaikan kacang lupakan kulit di mana telah hilang jati dirinya kerana menganggap perbicaraan mengenai bangsa sendiri atau bangsa lain sebagai isu perkauman.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kelemahan tersebut menyebabkan wujud kealpaan hingga memandang ringan hal kepimpinan, lalu politik dikuasai oleh bukan-Islam.

Menurutnya, kuasa politik di sisi Islam sangat penting dan satu kewajiban yang tidak boleh dipandang ringan di mana ia termasuk dalam catatan amal oleh malaikat kerana melibatkan pemilihan pemimpin.

Jelas beliau, kuasa politik Islam adalah pengawas yang memayungi semua di mana kehilangannya akan menyebabkan banyak hukum Islam tidak dapat dilaksanakan dan jati diri orang Islam menjadi lemah.

Sebaliknya peringat beliau, orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan bahaya apabila kerajaan yang memerintah didominasi oleh orang bukan-Islam sebagaimana kerajaan pada hari ini.

“Sekarang ini DAP 40 kerusi, PKR 30 (kerusi), 19 kerusi Melayu. Melayu ini yang layu pun ada, yang macam-macam jenis, yang 11 lagi bukan-Melayu. PAN ada lapan. Kalau campur ini jumlah bukan-Islam lebih besar, bukan-Melayu lebih besar. 

“Ini mengancam kuasa politik orang Melayu. Di atas sifat inilah kita melihat pentingnya orang Melayu disatukan dipadukan untuk membina balik kekuatan mereka dan memberi kesedaran wajibnya mengundi ini bukan sunat wajib. 

“Kalau kita tak mengundi kuasa politik orang ambil alih. Bila kuasa politik orang ambil alih, masjid dia kuasa surau dia kuasa. Sekarang ini bila kuasa politik diambil alih. Kita nak buat perhimpunan pun dia boleh arah sana sini. 

“Masjid dia boleh tutup. Haji dia boleh larang dengan kuasa politik semua,” ujarnya pada Townhall Bicara: Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Covention Centre, di sini semalam.

Tuan Guru terdahulu menerangkan kepentingan politik dalam Islam sebagaimana panduan telah ditunjukkan Baginda Nabi Muhammad SAW menerusi peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Katanya, walaupun kaum Muslimin telah memakai ihram bagi menunaikan umrah di Makkah, namun penangguhan disebabkan perjanjian dibuat itu menunjukkan pengiktirafan kuasa politik lebih penting daripada umrah.

Tetapi ujar beliau, salah faham dalam kalangan umat Islam hari ini ada meninggalkan kewajiban mengundi berbanding menunaikan amalan umrah yang sunat hingga negeri jatuh diperintah bukan-Islam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, betapa pentingnya pengundian adalah ia untuk mendapatkan kuasa politik dan dengannya juga membolehkan pemerintahan negara diambil alih. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -