Diugut ala samseng: Ahli PAS buat laporan polis 

Ustaz Noor Najhan (lima dari kiri), Dr Halimah (tengah) dan Muhamad Sufi (tiga dari kanan) dalam sidang media di empat pelupusan sampah sarap di Taman Klang Perdana, Klang pada 24 Jul 2023.
- Advertisement -

KLANG: “Tindakan mengupah sekumpulan lelaki berlagak ala samseng yang mengugut saya benar-benar melampaui batas.”

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Muhamad Sufi Kamari berkata demikian, ketika mengulas tentang kejadian yang berlaku ketika beliau berada di hadapan sebuah kolam pancing Perpat Resort Agro Farm, di sini, semalam, tatkala sedang membuat siaran langsung aplikasi TikTok.

- Advertisement -

“Kawasan tersebut dijadikan sebagai pembuangan bahan sisa kimia yang turut dijadikan sebagai sebagai tapak pembuangan sampah haram seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor.

“Namun, dalam beberapa minit kemudian, dua kereta Hilux menuju ke arah saya dan muncul enam orang lelaki yang mana seorang daripada mereka yang saya kenali berpangkat Dato’,” jelasnya.

Menurutnya, kesemua lelaki itu telah mengepung dirinya dan bertanya saya dalam nada suara yang tinggi.

“Saya menerangkan tujuan membuat siaran langsung di situ adalah mengenai isu pembuangan sampah haram tersebut tetapi saya telah dimarahi seolah-olah saya tidak menghormati Dato’ berkenaan.

“Mereka  (kumpulan lelaki tersebut) memarahi saya kerana beranggapan saya tidak menghormati lelaki berpangkat Dato’ itu apabila saya memberikan hujah berkenaan pembuangan sisa bahan kimia di dalam kawasan tanah miliknya (Dato’ berkenaan),” jelasnya.

Muhamad Sufi mendedahkan lagi, salah seorang daripada lelaki itu telah bertindak kasar dengan menolak dirinya sebelum merampas telefon bimbit miliknya.

“Bukan itu sahaja, mereka bertanyakan tempat tinggal saya dan keluarga serta mengambil gambar kad pengenalan saya.

“Namun, alhamdullillah beberapa minit kemudian tiga anggota polis telah hadir dan meleraikan keadaan,”  katanya.

Tambah beliau, telefon bimbitnya dipulangkan semula sebelum beliau terus membuat laporan polis di kawasan Klang Utara setelah tamatnya sidang media yang diadakan di kawasan tersebut pada jam 4 petang semalam.

Sidang media tersebut telah diadakan di lokasi tempat pelupusan sampah sarap di Taman Klang Perdana, di sini itu dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar Noor Najhan Mohamad Salleh, Ahli Parlimen Kapar Perikatan Nasional (PN) Dr. Halimah Ali dan sebahagian daripada penduduk kawasan tersebut.

Ketika kejadian Muhamad Sufi Kamari diugut kumpulan lelaki itu pula berlaku pada jam  2.40 petang, Ustaz Noor Najhan, Dr Halimah dan sebahagian penduduk masih belum hadir di situ.

“Saya membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan untuk saya sekeluarga memandangkan kejadian tersebut benar-benar ternyata di luar jangkaan saya.

“Saya juga berharap agar kejadian tersebut tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang dan menggesa mana-mana pihak supaya tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2023

- Advertisement -