Sanusi berasal dari keturunan Panglima Ibrahim Mekong

Gambarkan dirinya tidak gentar cabaran serta punyai kegigihan

- Advertisement -

SIK: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggambarkan bahawa dirinya sama sekali tidak gentar dan tidak akan berganjak dari cabaran dan serangan yang dihadapkan kepadanya.

Malah beliau menggambarkan keturunannya sebagai mereka yang telah berjuang dan membangunkan keupayaan sara diri menerusi kegiatan pertanian dengan gigih tekun dan jayanya.

“Kami ni keturunan Panglima Ibrahim Mekong. Saya generasi yang ketujuh. Mak saya generasi yang ke enam. (Almarhum) Tok Guru Haji Salleh (Musa) apa semua ni adik-beradik mak sayalah,” ujarnya.

Kisah itu diceritakannya dihadapan orang ramai dengan turut dihadiri ibu beliau, Meriam Ahmad pada majlis Munajat Perdana Mohon Keamanan dan Menentang Kezaliman di Dewan Al-Hana, di sini semalam.

Menurutnya, Ibrahim Mekong adalah panglima besar berasal dari Thailand dan memeluk Islam di mana kerana peperangan telah menyebabkan keturunannya sampai ke daerah di sebelah sini.

Jelas Sanusi, salasilah keturunan memenuhi Utara Perak sampai ke Selama di mana ramai Panglima masa lalu di Larut dan Penghulu-penghulu besar juga dari waris Ibrahim Mekong.

Beliau sebelum itu memaklumkan telah menghantar surat tuntutan terhadap Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui e-mail disampaikan peguamnya, semalam.

Jelasnya, ia berikutan Setiausaha Agung PKR dengan menuduh fitnah atas diri beliau kononnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Sik dan menyalahgunakan wang peruntukan MARRIS.

Sanusi secara nada amaran memberi peringatan kepada Saifuddin untuk bersedia disaman jika gagal menjawab tuntutan tersebut serta menegaskan bahawa dirinya juga tahu ‘menyerang’.

Sanusi turut menceritakan sejarah keturunannya itu sebagai memberitahu usaha telah dilaksanakan ke atas pentadbiran negeri Kedah dengan menyelesaikan beberapa masalah tertunggak.

Antaranya adalah melibatkan perkhidmatan perbekalan air, serta usaha penanaman padi lima kali dua tahun, dia mana semua itu sedang cuba didakwa pemimpin Pakatan Harapan sebagai usaha mereka. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -