Kisah Ashabul Ukhdud dan cabaran ditempuh Sanusi

Kezaliman PH-BN akan jadi punca ditolak rakyat

- Advertisement -

SIK: Ashabul Ukhdud yakni kisah dari al-Quran dalam surah al-Buruj telah dijadikan iktibar kepada cabaran dan ujian yang sedang ditempuh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengupas cerita tersebut dalam ucapannya pada Munajat Perdana Mohon Keamanan dan Menentang Kezaliman di Dewan Al-Hana, di sini semalam.

Cerita beliau, pemuda yang asalnya dihantar belajar dengan tukang sihir, namun pergi kepada seorang ulama itu telah menjadi kebanggaan ibu dan ayahnya, tetapi seruan dakwah beliau mendapat tentangan pemerintah.

Akibatnya, pemuda itu dihukum dengan beberapa cara kerana dianggap bakal menumbangkan kerajaan pada ketika itu, pun demikian tetap gagal membunuh untuk memutuskan nyawanya.

Akhirnya, pemuda itu meminta untuk seluruh rakyat dihimpunkan dan beliau hanya boleh terbunuh menggunakan anak panah yang dilepaskan dengan menyebut kalimah ‘Bismillah’ oleh si pemanah.

Jelas Ustaz Tuan Ibrahim, pemuda beriman itu telah menyebabkan satu negara bertukar akidah kepada Muslim di mana setelah menyaksikan peristiwa itu mereka bersahabat, namun dibunuh semuanya orang pemerintah zalim itu.

Menurut beliau, ribuan rakyat menyambut kepulangan Sanusi dan mahu memeluk ciumnya seperti Hajarul Aswad menunjukkan kecintaan mereka kerana berlakunya kezaliman ke atas pemimpin itu.

Katanya, memandangkan perkara itu terjadi menjelang Tahun Baharu Hijrah, ia mengingatkan beliau kepada perkara dilalui Nabi Muhammad SAW yang dicaci, difitnah dan dirancang bunuh semasa di Makkah.

Jelasnya, Hijrah telah mengubah dunia dari berada antara syirik kufur kepada iman dan yang mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yakni titik penting dalam kehidupan manusia.

Beliau menyifatkan serangan ditujukan kepada Sanusi adalah kerana kehebatan memimpin negeri Kedah di mana dirasai oleh denyut nadi rakyat, bahkan aura Sanusi sedang mempengaruhi seluruh negara.

Dato’ Tuan Ibrahim berkata, kesan kes Sanusi telah diberi pandangan oleh tokoh Umno yang asalnya melihat kedudukan Selangor 50-50 pada PRN nanti tetapi kini bertukar menjadi tiada harapan lagi untuk PH-BN.

Kejahatan ujarnya mengulas sebuah hadis, menyebabkan rakyat bangkit untuk menegakkan kebenaran dan keadilan untuk menolak kerajaan yang dibina di atas asas pembohongan dan tidak benar.

“Hasil penipuan kepada rakyat, para pengundi, dibina di atas pelanggaran syarak sumpah ‘wallahi wabillahi watallahi’ akhirnya bergabung mereka ialah mereka yang dicerca, dimaki hamun, penyangak, perompak, penyamun, penyakau.

“Kalau ini yang ada dalam kabinet macam mana negara nak jadi baik? Perompak tidak akan ambil melainkan ketua perompak di kalangan perompak untuk jadi perompak. Siapa yang kuat menipu, diangkat menjadi ketua penipu-penipu,” bidasnya.

Tambah beliau, sepatutnya pada malam Sanusi ditangkap, pihak polis tidak perlu berbuat demikian kerana beliau sudahpun bersedia untuk ke mahkamah pada esok harinya sebagaimana dijadualkan.

“Malam itu saya mesyuarat dengan dia. Saya tengok muka dia macam biasa je. Nampak macam tak takut je. Tak tahulah mungkin muka dia tak nampak perubahan ya. Relaks je tenang. Pasal apa? Sebab kita yakin.

“Sebagai orang Islam ya, Allah Taala mengingatkan kita semua, sesuatu tak akan kena pada kita melainkan apa yang Allah tetapkan telah kena pada kita. Kita beriman dengan akidah, kita yakin. Allah Taala tidak akan biarkan kezaliman.

Insya-Allah di atas prinsip tersebut kita bangun mempertahankan, bukan sahaja beliau, bahkan Perikatan Nasional mesti menang dalam PRN 12 Ogos nanti,” ujarnya membangkitkan semangat. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -