Tom Cruise melobi isu ancaman AI

Tom Cruise dalam satu adegan aksi fiilem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One. (FOTO: PinkVilla/Paramout Pictures)
- Advertisement -

LOS ANGELES: Sebelum perbincangan antara SAG-AFTRA dengan pihak studio filem dan TV utama di Hollywood menemui kegagalan, pelakon tersohor, Tom Cruise sebenarnya telah diminta untuk melobi bagi pihak kesatuan pelakon Hollywood itu berhubung isu teknologi kecerdasan pintar (AI) yang kini menjadi ancaman kepada karyawan Hollywood.

Cruise, 61, yang kini muncul dengan siri filem aksi terbaharunya, Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One telah menyertai sesi rundingan pada Jun tahun ini bagi membincangkan tentang isu kebimbangan mengenai penggunaan AI oleh pihak studio bagi  menggantikan fungsi  pelakon dalam pembikinan filem dan program TV, lapor Hollywood Reporter.

Golongan pelakon gantian untuk adegan aksi yang merupakan sebahagian daripada 160,000 ahli SAG-AFTRA terutamanya, diancam akan diganti dengan AI pada masa hadapan kelak.

- Advertisement -

Pihak SAG-AFTRA dan jurucakap Cruise bagaimanapun tidak memberikan jawapan apabila diminta media untuk mengulas tentang  laporan itu.

Terdahulu, pada Jumaat (14 Jul), SAG-AFTRA secara rasmi menyertai piket atau mogok tunjuk perasaan terhadap kesatuan sekerja yang mewakili studio filem dan perkhidmatan penstriman terbesar Hollywood, Alliance of Motion Picture and Television Producers (AMPTP).

Kesatuan pelakon Hollywood itu bergabung dengan 11,000 ahli Persatuan Penulis Amerika atau Writer’s Guild of America (WGA) bagi menentang AMPTP sejak awal Mei lalu, yang menyaksikan kedua-dua kesatuan yang mewakili karyawan seni Hollywood tu mengadakan mogok terbaharu sejak kali terakhir ia diadakan 63 tahun lalu.

Walaupun terdapat beberapa isu berbangkit terutama mengenai jumlah bayaran perkhidmatan karyawan seni dan studio di Hollywood, namun perdebatan utama adalah mengenai penggunaan AI dalam pembikinan program televisyen dan filem yang dikatakan mengancam kedudukan golongan pelakon.

Sebahagian daripada 65,000 pelakon Hollywood menurut laporan CBS News telah mengambil  bahagian dalam mogok pada minggu lepas bagi berjuang untuk mendapatkan bayaran lakonan yang lebih tinggi di tengah-tengah inflasi dalam industri hiburan di Hollywood, menyebabkan produksi terhenti.

“Kebanyakan ahli saya tidak pun mencapai nilai ambang untuk mendapatkan insurans kesihatan, iaitu AS$26,000 (RM118,532) setahun dan dalam kebanyakan daripada mereka, pekerjaan masing-masing hanya dianggap sebagai kerja sambilan,” kata Presiden SAG-AFTRA dan pelakon, Fran Drescher kepada CBS Mornings.

“Apa yang mereka (studio) lebih berminat ialah menunjukkan kepada pemegang saham syarikat masing-masing berapa banyak pulangan wang boleh dihasilkan agar tidak mengalami kerugian,” tambah Drescher.

SAG-AFTRA sebelum ini telah berhujah bahawa studio mahu menggunakan AI untuk ‘menghapuskan’ pekerjaan lakonan dengan mengimbas dan mencipta keserupaan digital untuk digunakan selama-lamanya tanpa pampasan yang adil bagi pelakon.

Menurutnya Drescher, golongan pelakon kini menghadapi ‘masalah besar’ jika tiada persetujuan antara pihak kesatuan dan studio dicapaui bagi  melaksanakan dasar AI untuk melindungi hak karyawan seni di Hollywood.

“Kita semua (karyawan seni di Hollywood) kini berada dalam bahaya digantikan oleh mesin,” katanya.

Sepertimana yang telah ditampilkan dalam satu episod siri Black Mirror yang disiarkan di Netflix berjudul, Joan is Awful yang menggambarkan kerjaya pelakon diganti dengan imej AI; kemajuan terkini dalam  teknologi tersebut telah memperkenalkan konsep menggantikan pelakon dengan versi yang dijana AI itu kini menjadi kenyataan di alam realiti. 

Cruise sendiri telah digambarkan dalam siri teknologi deepfakes yang dicipta oleh pereka kesan visual dan AI di TikTok pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, di tengah-tengah rundingan pra-mogok, menurut laporan Hollywood Reporter, Cruise turut menggesa SAG-AFTRA agar membenarkan golongan pelakon dibenarkan mempromosikan projek lakonan mereka, memetik kedudukan kewangan industri pawagam yang tidak menentu impak pandemik Covid-19.

Menurut peraturan mogok semasa kesatuan itu sebelum ini, Cruise dan pelakon lain dilarang daripada terbabit temu bual, lawatan atau promosi untuk mana-mana projek yang menganggap studio utama sebagai penyokong, bermakna Cruise tidak lagi boleh mempromosikan filem Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One, yang mula ditayangkan di seluruh dunia sejak awal bulan ini. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -