Peluang cerah PN kuasai 3 Dun di Kuala Kedah

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kemenangan besar PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Kuala Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 memberi peluang cerah PAS dan PN merampas tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) di parlimen berkenaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, gelombang rakyat yang berlaku ketika itu membolehkan PN menang dengan majoriti 28,032 undi.

Katanya peralihan sokongan rakyat kepada PN semakin jelas dan ia kelihatan terus meningkat sekarang.

“Perkembangan itu boleh dijadikan ukuran untuk PN menguasai Dun Anak Bukit, Pengkalan Kundur dan Kubang Rotan.

“Dun terbabit dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum lepas. Kerusi tersebut juga menjadi sebahagian daripada 16 sasaran PH pada PRN kali ini,” katanya di sini hari ini.

Pada PRU lepas Dun Anak Bukit dimenangi PH melalui Dato’ Ir Amiruddin Hamzah, Kubang Rotan Asmirul Anuar Aris (PH) dan Pengkalan Kundor Dato’ Dr Ismail Salleh (PH).

Pada PRU ke-15 November lepas PN menang 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, manakala kerusi parlimen Padang Serai dimenangi PN pada Pilihan Raya Kecil yang diadakan selepas itu.

Dr Ahmad Fakhruddin yang juga ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, kerusi Dun di parlimen Kuala Kedah pernah dimenangi PAS sebelum ini.

“Kita tahu cabaran untuk menang bukan perkara yang mudah. Oleh itu PN Kuala Kedah bekerja keras bagi merampaskan kerusi Dun terbabit.

“Kita telah menggerakkan jentera di semua peringkat. Struktur jentera sedia ada masih dimanfaatkan,” kata beliau.

Menurutnya juga PH-BN tentunya mempunyai strategi untuk mempertahankan Dun berkenaan.

Beliau juga berkata, Penyelaras di Dun Anak Bukit, Pengkalan Kundur dan Kubang Rotan sudah lama mendekati rakyat melalui agihan bantuan kerajaan negeri termasuk Beras Sejahtera, Anakku Sejahtera, khairat kematian dan pelbagai lagi.

Katanya melalui program terbabit, rakyat di tiga Dun terbabit tidak pernah terpinggir dan sentiasa mendapat perhatian kerajan negeri walaupun Dun berkenaan diwakili pembangkang. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -