Tahan MB jam 3 pagi undang kemarahan rakyat

- Advertisement -

PADANG BESAR: Menteri Besar (MB) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak wajar diperlakukan dengan menghantar begitu ramai anggota polis bagi menahannya jam 3 pagi di Kuala Lumpur semalam.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut meluah perasaan kecewa dengan tindakan kerajaan PH-BN yang menahan seorang Menteri Besar pada awal pagi sedangkan beliau sudah pun berada di Kuala Lumpur ketika itu.

“Sanusi tidak sewarnya diperlakukan seumpama ini, mahu dakwa itu tak apa, kita terima namun tak sepatutnya beliau ditahan pada jam 3 pagi.

“Apa pun keputusan pendakwaan sudah kita ketahui malah beliau (Sanusi) juga telah dijamin dan masih boleh bertanding pada PRN nanti,” katanya di sini semalam.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, Sanusi telah membayar wang jaminan atas dua pertuduhan dan kes berkenaan akan disambung semula pada Oktober depan.

Beliau dibebaskan dengan ikat jaminan sebanyak RM10,000 di atas dakwaan berkaitan ceramah di Selayang ketika membantu kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Alasan pendakwaan dibuat kerajaan PH-BN kononnya Sanusi mengeluarkan kenyataan yang disifat cenderung  menghasut pada ceramahnya di Selayang. Manakala dakwaan kedua berkaitan  penubuhan kerajaan campuran yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Shukri yakin pendakwaan terhadap Sanusi akan menguatkan lagi sokongan rakyat kepada PN menjelang PRN.

“Daripada apa saya lihat di media sosial, majoriti daripada pengikut menyatakan rasa marah atas apa yang berlaku dan saya merasakan ini satu kesilapan apabila kerajaan PH-BN mendakwa beliau.

“Daripada lima negeri yang kita jangka menang, lepas PRN nanti PN boleh sapu bersih enam negeri (disebabkan tindakan seumpama itu),” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2023

- Advertisement -