Petisyen desak kerajaan selesai kenaikan harga barang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersama kira-kira 300 mahasiswa berkumpul di Kompleks Beli Belah Sogo, di sini, petang semalam untuk menggerakkan petisyen bagi menggesa kerajaan agar menangani segera peningkatan harga barangan asas.

- Advertisement -

Presidennya, Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz berkata, petisyen tersebut dikumpulkan daripada kalangan orang awam dan mahasiswa bermula semalam selama dua minggu.

Katanya, GAMIS menyasarkan sebanyak 1,000 petisyen sebelum dihantar bersama memorandum kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau mendakwa kerajaan masih belum melaksanakan langkah yang efektif bagi menangani peningkatan harga barangan yang menyebabkan rakyat terbeban, khususnya golongan mahasiswa.

“Hari ini kita boleh lihat mahasiswa di kampus-kampus ada yang makan nasi dengan kuah sahaja, ada juga yang terpaksa catu duit dan sebagainya.

“Peniaga juga terpaksa menaikkan harga barangan kerana mereka mahu mendapatkan keuntungan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Arif mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih banyak mengadakan pertemuan bersama mahasiswa di kampus universiti berbanding mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.

Timbalannya, Shauqi Shakir Mohd Syukri berkata, gesaan tersebut dibuat bukan kerana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, sebaliknya memberikan mesej bahawa kenaikan kos sara hidup menimbulkan kegusaran kepada rakyat.

“Isu ini sangat penting dan perlu diambil penekanan oleh kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2023

- Advertisement -