Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (4)

- Advertisement -

KEISTIMEWAAN Nabi Musa: Bercakap dengan Allah tanpa perantaraan Jibril

- Advertisement -

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ مُوسَىٰٓ إِنَّهُۥ كَانَ مُخْلَصًا وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), kisah Musa di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya dia ialah orang pilihan, dan dia adalah seorang Rasul dan Nabi.” (51)

Salah seorang Nabi dalam kalangan Bani Israel yang wajib kita percayai ialah Nabi Musa A.S. Kisahnya diceritakan secara ringkas dalam surah ini:

وَنَٰدَيْنَٰهُ مِن جَانِبِ ٱلطُّورِ ٱلْأَيْمَنِ وَقَرَّبْنَٰهُ نَجِيًّا

“Dan Kami telah memanggilnya dari sebelah kanan Tursina dan Kami telah mendekatkannya kepada Kami di waktu bermunajat (kepada Kami).” (52)

Nabi Musa diberikan penghormatan. Baginda boleh berbicara dengan Allah secara langsung tanpa perantaraan Jibril. Baginda digelar sebagai ‘Kalimullah’ iaitu orang yang bercakap dengan Allah. 

Apabila Baginda bakal ditangkap akibat membunuh seorang lelaki Qibti, Baginda melarikan diri ke Madyan. Berkahwin di Madyan. Setelah 10 tahun, Baginda pulang semula ke Mesir. Dalam perjalanannya, Baginda berhenti di suatu tempat. Mencari kayu api untuk membuat unggun yang boleh memanaskan badannya, isterinya dan kambing-kambing peliharaannya kerana pada ketika itu adalah musim sejuk. 

Tiba-tiba, ada suatu suara (suara Allah) yang memanggilnya dan cahaya keluar daripadanya. Bermulalah percakapan atau dialog antara Nabi Musa dan Allah S.W.T. Nabi Musa ada memegang tongkat untuk membantunya berjalan di atas bukit dan batu, mengusir binatang-binatang peliharaannya dan kegunaan-kegunaan lain. Dari situlah Baginda dilantik menjadi Nabi tanpa perantaraan Jibril:

وَوَهَبْنَا لَهُۥ مِن رَّحْمَتِنَآ أَخَاهُ هَٰرُونَ نَبِيًّا

Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang Nabi.” (53)

Ayat ini merujuk kepada peristiwa ketika Baginda bermunajat di Bukit Tursina. Apabila kaumnya dihalau dari Mesir dan dikejar oleh Firaun, mereka tinggal di padang pasir. Baginda meninggalkan kaumnya di bawah pengawasan Nabi Harun. Baginda pergi bermunajat di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam. Akhirnya, Allah mewahyukan kandungan kitab Taurat kepadanya. 

Ada 10 perintah atau ‘Ten Commandments’ telah diberikan kepada Nabi Musa. Dengan (kuasa-Nya) cahaya dari langit dan perkara tersebut ditulis di atas batu. Antaranya adalah menyembah Allah, larangan berzina, perintah solat, larangan memakan harta dan larangan terlibat dengan riba. Baginda memikul batu itu dan membawanya pulang berjumpa dengan kaumnya. 

Kehebatan doa Nabi Musa

Nabi Musa diperintahkan oleh Allah untuk mengajak Firaun untuk memeluk Islam. Pada awalnya Nabi Musa berasa takut. Lalu, Baginda berdoa dengan satu doa iaitu: 

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

“Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku.”

Semasa Baginda masih kecil, Baginda pernah mengangkat kerusi yang diduduki oleh Firaun yang tengah berehat. Firaun terkejut dan hairan dengan tindakan Baginda yang pada ketika itu baru sahaja merangkak. Jadi, Firaun mahu membunuhnya. Lagipun, dia pernah bermimpi bahawa akan keluar api besar yang membakar seluruh Mesir. Tukang sihirnya mentafsir mimpi itu dengan maksud akan berlaku suatu penentangan daripada Bani Israel terhadapnya. 

Maka, dia mengeluarkan perintah bunuh kepada mana-mana anak lelaki yang baru lahir. Pada peringkat awal, perintah tersebut berjalan. Sehinggakan suatu ketika berlaku kekurangan tenaga buruh. Maka, dasar diubah kepada pembunuhan dalam tempoh selang setahun. Kebetulan, Nabi Musa lahir pada tahun perintah bunuh. Manakala adik-beradiknya iaitu Nabi Harun lahir pada tahun larangan bunuh. 

Ibunya merahsiakan kelahiran Nabi Musa. Apabila askar Firaun datang ke rumah, dia menyembunyikan anaknya di dalam pembakar roti. Apabila ditanya, ibunya tidak mengaku. Askar yang tidak berpuas hati itu teruskan pemeriksaan lalu ternampak pembakar roti. Apabila ingin membukanya, api sedang menyala. Jadi, askar berfikir bahawa mustahil ada bayi di dalamnya. Lalu, askar pun beredar. Ibunya yang panik segera memeriksa keadaan anaknya, mujur anaknya tidak apa-apa. 

Kebuntuan menyebabkan ibunya menghanyutkan Nabi Musa yang diletakkan di dalam sebuah bakul ke sungai. Kakaknya diminta untuk mengikuti ke mana sahaja bakul itu. Dengan takdir-Nya, ia hanyut dan terus hanyut sehingga berhenti di tempat di mana isteri Firaun iaitu Asiyah mandi. Asiyah terkejut melihatnya. Nama Musa berasal daripada bahasa Ibrani iaitu Moshe (tepi air). 

Nabi Musa mahu dibunuh oleh Firaun kerana dia menganggap bahawa Baginda akan melawannya nanti. Asiyah menafikan dan berjaya memujuknya supaya menerima Baginda sebagai anak angkat. Jadi, tindakan Nabi Musa yang mengangkat kerusinya itu sekali lagi mengejutkan Firaun. Lalu, Asiyah mencadangkan agar Nabi Musa diuji. Ujiannya adalah dua bekas yang masing-masing berisi roti dan bara api. 

Nabi Musa mahu pergi ke arah roti tetapi dielakkan oleh Jibril. Baginda pun memegang bara api lalu memasukkannya ke dalam mulut lantas segera membuangnya. Oleh sebab itu, lidahnya agak sedikit ‘pendek’ yang menyebabkan percakapannya tidak jelas. Jadi, Baginda meminta dengan berdoa seperti di atas. 

Apabila Allah memerintahkan Nabi Musa untuk berjumpa dengan Firaun, Baginda takut kerana pernah membunuh lelaki Qibti dan kerana lidahnya tidak fasih. Doanya lagi: 

وَٱجْعَل لِّى وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِى (29) هَٰرُونَ أَخِى (30)

“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku.” 

(Taha: 29-30)

Nabi Harun dilantik menjadi pembantunya kerana Baginda lagi petah berbicara. Ini antara adik-beradik yang kedua-duanya menjadi Nabi. Yang awalnya ialah Nabi Ismail dan Nabi Ishak tetapi lain ibu. Berbeza dengan Nabi Musa dan Nabi Harun yang seibu dan seayah. Inilah keistimewaan yang Allah anugerahkan kepada mereka berdua. 

Larangan menipu, ia bukan sifat orang beriman

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ إِسْمَٰعِيلَ إِنَّهُۥ كَانَ صَادِقَ ٱلْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), kisah Ismail (yang tersebut) di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya dan dia seorang Rasul dan Nabi.” (54)

Nabi Ismail ada beberapa keistimewaan, antaranya ialah sifat menepati janji. Baginda tidak pernah memungkiri janji. Inilah sifat kita sebagai orang beriman. Sebab Nabi pernah menyebut dalam suatu Hadis bahawa menipu itu bukan sifat orang yang beriman, walaupun dia ialah seorang yang penakut, kedekut dan angkuh. 

Jadi, tidak usahlah berjanji jika kita tidak mampu untuk melaksanakannya. Bukan sahaja dalam politik, bahkan sesama ahli keluarga sendiri terutamanya dengan kanak-kanak. Kadang-kadang, seorang ayah berjanji nak menghadiahkan sebuah motosikal kepada anaknya kalau lulus peperiksaan sedangkan motosikalnya sendiri pun rosak (dia tidak mampu).  Ada juga yang nak memberikan duit kepada budak kecil tetapi kemudian tidak memberikannya, sehinggakan berkata, “Budak bukannya tahu apa-apa pun.”

Ada satu kisah yang menunjukkan betapa ‘strict’nya Imam Bukhari. Kitab Hadis Imam Bukhari dianggap sebagai kitab yang paling sahih selepas al-Quran. Sebab beliau sangat ‘strict’ dalam pengambilan sesuatu Hadis. Kalau terdengar sahaja ada Hadis, beliau akan pergi mencarinya. 

Pada suatu hari, beliau mendengar ada yang memberitahu mengenai Hadis yang hanya ada pada seorang ulamak yang tinggal di tempat yang sangat jauh. Beliau pun pergi dan menjumpai ulamak itu. Setelah tiba, beliau ternampak ulamak itu tengah menabur makanan kepada burung dan menangkapnya. Beliau cuma memerhati dari jauh dan kemudian barulah memberi salam. 

Beliau memberitahu tujuan kedatangannya. Ulamak itu mengiyakan bahawasanya memang hanya dia seorang yang memiliki Hadis di tempat itu. Beliau bertanya, apakah makanan yang ditabur kepada burung? Dia memberitahu bahawa ia cumalah pasir. 

Beliau terkejut mendengarnya lalu beredar begitu sahaja. Beliau tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh ulamak itu (menipu burung) walaupun cuma kepada burung. Beliau rela tidak mengambil Hadis tersebut. 

Jagalah solat walau apa jua keadaan

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُۥ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِۦ مَرْضِيًّا

“Dan dia menyuruh ahli keluarganya untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat dan dia adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya.” (55)

Kita kena sama-sama menjaga keluarga kita supaya tidak meninggalkan solat dalam apa jua keadaan sekalipun. Sebab solat akan ditanya oleh Allah kelak. Jadi mengikut Mazhab Syafie, wajib untuk kita qada’ (ganti) solat-solat yang ditinggalkan. Gantilah setakat mana yang kita ingat dan ketika masa lapang. 

Orang yang meninggalkan solat umpama tiada passport. Sebab Nabi pernah menyebut bahawa tanda orang yang beriman ialah mengerjakan solat. Mengikut Mazhab Hanbali, sesiapa yang tidak mengerjakan solat dikira sebagai kafir. Namun mengikut Mazhab Syafie, sesiapa yang tidak mengerjakan solat kerana malas atau sibuk tetapi tidak mengatakan apa-apa, maka dikira sebagai orang yang fasik. 

Orang fasik tidak boleh menjadi wali dan saksi nikah. Ada imam yang cermat dalam menguruskan perkahwinan, dia akan mengajak orang untuk sama-sama beristighfar dan mengucap kalimah syahadah sebelum akad nikah. Tidaklah mengajak ayah seorang untuk mengucap, takut berkelahi pula di atas masjid. Sebab bimbang akan ayah itu sama ada dia fasik atau bukan. Tujuannya adalah untuk menyucikan dia dengan Allah. 

Jadi, keluarga perlu diperbaiki terlebih dahulu supaya orang lain mudah mengikutinya. 

Punca kesyirikan mula berlaku

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَٰبِ إِدْرِيسَ إِنَّهُۥ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Idris (yang tersebut) di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan dan dia adalah seorang Nabi. (56)

وَرَفَعْنَٰهُ مَكَانًا عَلِيًّا

“Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (57)

Kisah Nabi Idris tidak banyak yang kita dengar. Sebab pada zamannya, orang belum berbuat syirik dan masih beriman. Syirik mula berlaku pada zaman Nabi Nuh. Syaitan menggoda kaumnya agar mengukir rupa-rupa orang soleh yang telah meninggal pada batu untuk mengingati mereka. 

Mereka datang setiap hari untuk tengok dan menghormati. Pada awalnya, tidak berlaku apa-apa lagi, namun lama-kelamaan mereka memuja dan menyembah. Inilah punca orang menyembah berhala dan tidak peduli kepada asas tauhid. Maka, Allah mengutuskan Nabi Nuh. 

Nama Nuh adalah kerana Baginda banyak menangis dan meratap. Baginda banyak melihat kehidupan kaumnya yang tidak betul seperti menyembah berhala dan tidak peduli akan agama. 

Walaupun Nabi Nuh menasihati mereka, mereka tetap tidak mendengarnya. Lalu, Allah menegurnya kerana Baginda banyak meratap dan menangis. Allah memerintahkannya untuk berdakwah kepada kaumnya. 

Dalam kisah Israk dan Mikraj, digambarkan bahawa Nabi Idris berada di langit yang tinggi. Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepadanya. 

Kisah Nabi-nabi yang terpilih

أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّۦنَ مِن ذُرِّيَّةِ ءَادَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْرَٰٓءِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَٱجْتَبَيْنَآ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُ ٱلرَّحْمَٰنِ خَرُّوا۟ سُجَّدًا وَبُكِيًّا

“Mereka itu adalah orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu daripada para Nabi daripada keturunan Adam dan daripada orang yang Kami angkat bersama Nuh dan daripada keturunan Ibrahim dan Israel dan daripada orang yang telah Kami beri petunjuk dan yang telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka tunduk dengan bersujud dan menangis.” (58)

Nabi Nuh diperintahkan untuk membawa binatang dan orang-orang beriman bersama-sama dengannya. Namun, mereka (orang beriman) tidak ramai walaupun Baginda berdakwah selama 950 tahun. 

Menurut ulamak, masa yang lama sebab usia orang-orang terdahulu adalah beribu tahun dan mereka tidak ramai. Mereka bertubuh ‘kasar’. Dunia pada ketika itu tidak luas kerana banyak kawasan dipenuhi dengan air. Jadi, perjalanan juga tidak jauh dan terhad. Gambaran ini diceritakan di dalam cerita Disney Land yang mengisahkan mengenai zaman batu dan binatang-binatang yang pelik. 

Israel ialah gelaran kepada Nabi Yakub. Keturunan yang disebutkan dalam surah ini ialah Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Yahya, Nabi Isa dan ibunya Maryam. Gelaran Israel diberikan kerana Nabi Yakub suka berjalan malam. Keturunannya disebut sebagai Bani Israel atau ‘Children of Israel’. Baginda mempunyai 12 orang anak daripada dua orang isteri. Mereka ialah adik-beradik Nabi Yusuf dan Bunyamin. 

Inilah yang melahirkan kabilah Israel pada hari ini atau disebut sebagai ’12 Tribes of Israel’. Orang yang tersohor ialah yang bernama Lawi kerana namanya digunakan pada seluar jeans Levi’s. Pada ketika itu, stail koboi kerana memerlukan seluar yang tahan lasak untuk menaiki kuda dan musimnya adalah musim sejuk. 

Kita pula memakai seluar jeans pada waktu panas terik. Memakai kaca mata hitam pada waktu malam. Kita nak meniru budaya Barat tanpa mengetahui sejarah. Seluar jeans dibuat untuk menahan tubuh kita daripada musim sejuk dan kaki seluarnya pula menghalang angin daripada masuk. 

Ayat ini merupakan salah satu ayat Sajdah. Yang masyhurnya ada 17 ayat Sajdah dalam al-Quran. Kita disunatkan untuk sujud tilawah kerana membaca ayat-ayat Sajdah. Kebiasaannya Nabi akan membaca surah Sajadah pada solat Subuh hari Jumaat. 

Adab menjaga kehidupan

فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan. (59)

Selepas kedatangan Nabi dan Rasul, manusia kembali melakukan perbuatan-perbuatan yang jahat sehinggalah zaman Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad ialah Nabi yang terakhir dan tiada Nabi selepasnya. Kalau ada yang mengaku sebagai Nabi, itu semua mengarut. Sebab dia mengangkat dirinya di suatu kedudukan yang tidak layak baginya. 

Hanya ulamak yang tinggal. Oleh sebab itu, kita mestilah menghormati ulamak walaupun mereka tidak sempurna dan ada salah silap. Disebabkan oleh kedudukannya, kita mestilah hormat. Umpama ibu dan ayah kita, mungkin mereka tidak pandai dan berjaya seperti kita, tetapi kita mestilah tetap menghormati mereka. 

Sebab nilai seorang ibu dan ayah itulah yang sangat mahal. Kita boleh berkahwin tetapi belum tentu dapat menjadi seorang ibu atau ayah. Sebab kalau tidak boleh mengandung, makanlah ubat apa sekalipun, tetap tidak boleh menjadi ibu atau ayah. 

Pada zaman sekarang, orang sudah tidak menghormati ulamak. Inilah masalah besar di akhir zaman. Kata Professor Syed Najib, kita sudah hilang adab. Tiada adab dengan Allah, Nabi, ulamak, ibu, ayah, guru dan sebagainya. Adab inilah yang menjaga kehidupan. 

Adab umpama peraturan seperti peraturan jalan raya. Bayangkanlah kalau tiada peraturan langsung, akan keraplah berlaku kemalangan. Sekarang yang dah ada peraturan pun berlaku lagi kemalangan, apatah lagi kalau tiada langsung. 

Nak menegur ulamak pun ada caranya. Walaupun tujuan itu baik, tetapi kalau tidak kena dengan cara akan menimbulkan masalah juga seperti orang akan malu. Sebagai contoh, kisah seekor beruang yang sangat menyayangi tuannya. Ketika tuannya tidur, ia menjaganya. 

Ada suatu ketika, datang seekor lalat yang menghinggap di pipi tuannya. Tuannya itu mengusir lalat tetapi lalat datang lagi. Beruang yang serabut melihat situasi itu menyebabkan ia menampar pipi tuannya sehingga terkoyak. Jadi, cara itu amat penting dalam kehidupan. 

Islamlah yang menyelamatkan kita. Orang Melayu menjadi baik kerana agama. Orang Kelantan aman kerana beramal dengan Islam walaupun ada yang tidak ‘juruh’ tetapi Islam itu dijaga. Tiada orang Cina dibunuh atau dipukul. Sebab dasar Islam yang menjaga kita. 

Kalau ikutkan, tiada langsung baka Cina di Kelantan sebab orang Islam lebih ramai. Tetapi disebabkan oleh agama yang menjaga, jadi kita tidak boleh berbuat sesuka hati kepada orang bukan-Islam. Oleh itu, kita sama-samalah berusaha beramal dengan Islam, bermula dengan diri kita, keluarga dan seterusnya masyarakat. 

Allah telah mentakdirkan kita sebagai orang Islam, jadi berpakatlah kita untuk hidup dengan cara Islam. Beramallah setakat yang mampu. Sebab kebaikan itu akan diperoleh oleh kita semua. Kalau semua baik, hati pun senang. Kalau tidak, nak mengerjakan solat pun tidak khusyuk. Sehinggakan ada yang mengerjakan solat Jumaat di atas motosikal kerana bimbang motosikalnya dicuri. Yang lebih menghairankan adalah selipar pun dicurinya. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 10 Julai 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!