Media sosial bukan rujukan utama

- Advertisement -

DUNGUN: Ahli PAS diminta berhati-hati dengan setiap persepsi ataupun tanggapan negatif yang sengaja ditimbulkan di dalam media sosial kerana medium berkenaan bukanlah mekanisme bagi dijadikan rujukan utama.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun, Ghazali Sulaiman berkata, kadang-kadang maklumat yang berlegar di media sosial boleh jadi ianya daripada pihak memusuhi PAS, justeru perlu disahihkan sumber maklumat berkenaan.

“Kerana kita dapati adanya terjadi sikap ahli PAS yang lebih percayakan persepsi yang dibentuk musuh, pada kebiasaannya mereka inilah yang menjadi duri dalam daging.

“Di mana selalu membuat adu domba, suka menghantuk sesama sendiri sehingga sesama jemaah berselerak dan memberi kesan kepada hubungan silaturahim,” ujarnya, di sini hari ini.

Gagal mengikuti segala program diaturkan PAS menurutnya, menjadi punca tidak wujudnya kesatuan pemikiran.

“Sedangkan program seperti usrah, tamrin, Liqa’ Fikri telah dikhususkan sekian lama agar dapat mempereratkan ukhwah disamping dapat memperkasakan ahli itu sendiri,” ujarnya.

Jelas beliau, apabila gagal hadir ke program berkenaan, kesannya akan mudah termakan dengan segala bentuk persepsi negatif terhadap jemaah dan pemimpin parti itu sendiri.

“Sementelah lagi apabila ahli itu sendiri tidak suka dirinya ditarbiah berpunca dari merasakan diri sudah hebat, akhirnya membentuk dirinya dengan perwatakan ego yang membawa kepada tergelincir daripada jemaah.

“Justeru ikatlah diri bersama didalam jemaah, perlu bersatu hati serta mentaati setiap arahan pimpinan agar mampu istiqamah sehingga Islam itu dapat ditegakkan di bumi Malaysia ini secara menyeluruh.

“Jangan sampai kita karam di lautan sedangkan bahtera ini, terus maju ke hadapan tanpa mengalami karam,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2020

- Advertisement -