Gunung Keriang: Antara legenda dan kajian geologi

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Gunung Keriang antara salah satu daya tarikan pelancongan Kedah khususnya penggemar aktiviti lasak, kerana merupakan gunung batu kapur purba yang berasal sejak zaman Permian 250 juta tahun lalu.

- Advertisement -

Gunung Keriang mempunyai ketinggian 217.92 meter dari paras laut dan 99 meter dari paras jalan, berada di tengah-tengah jelapang padi di Kampung Hulu yang terletak di dalam DUN Anak Bukit, di sini.

Selain itu terdapat sekurang-kurangnya 10 morfologi batu berlainan terdapat di Gunung Keriang dan menjadikannya sebagai warisan geologi unik bagi penyelidikan dan kajian lanjut yang patut dilindungi.

Perkara yang lebih menarik, di sebalik gahnya berdiri struktur semulajadi batuan ini, terdapat pelbagai kisah lagenda yang penglipur lara atau dongeng dari mulut ke mulut berkenaan Gunung Keriang ini.

Gunung ini dikaitkan dengan seorang pahlawan tempatan yang kuat dan bijaksana bernama  Mat Raya, di mana suatu hari perwira itu bertempur mempertahankan kampungnya dari serangan musuh.

Dalam pertempuran itu Mat Raya cedera parah dan berada dalam keadaan sangat lemah, namun beliau berdoa memohon kekuatan agar dapat melindungi kampungnya dari dikuasai musuh.

Doa Mat Raya diceritakan telah dimakbul tuhan, tetapi dengan mengubahnya menjadi gunung yang kuat, dikenali kini sebagai Gunung Keriang, atau bahasa setempat bererti ‘batu karang yang berapi’.

Namun berdasar kajian pakar geologi, gunung ini terjadi hasil menyusutan air laut antara dua hingga tiga meter suatu ketika dahulu yang melonjakkan Pulau Keriang membentuk gunung.

Kini, Gunung Keriang menjadi sebuah tempat yang dikelilingi kawasan sawah padi dan desa indah serta popular untuk dikunjungi oleh para pengunjung sama ada dalam mahupun luar negeri.

Selain menawarkan pemandangan alam yang menakjubkan, gunung ini juga menjadi tempat untuk kegiatan ‘hiking’, panjat tebing malah pengunjung juga boleh menjelajahi gua-gua yang terdapat di sekitarnya.

Tidak jauh dari Gunung Keriang terdapat banyak lagi tempat menarik untuk dikunjungi seperti Muzium Padi, Pusat Renang Akuatik, Perkampungan Tradisional Masyarakat Petani dan Pusat Sains Negeri Kedah.

Selain itu para pengunjung juga boleh mendapatkan barangan cenderahati di gerai-gerai jualan di kaki gunung berkenaan. – HARAKAHDAILY 19/5/2024

- Advertisement -