MIC dan MCA merajuk? Zahid gagal!

- Advertisement -

LEBIH 60 tahun BN memerintah Malaysia. Sebelum ditukar nama kepada BN pada 1973, Umno, MCA dan MIC bergabung di bawah Parti Perikatan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang pertama.

Kelangsungan pemerintahan BN berjaya dicapai dengan kerjasama parti-parti komponen BN iaitu Umno, MCA dan MIC yang bertunjangkan perpaduan kaum di Malaysia.

Namun hari ini, kedudukan BN bagai retak menanti belah.

Bahasa tersiratnya MCA dan MIC tidak bertanding untuk kukuhkan parti bagi menghadapi PRU16. Bahasa tersuratnya sudah pun dinyatakan Setiausaha Agung Pemuda MCA untuk boikot PRN.

Jauh lagi PRU16, ataukah sebenarnya MCA dan MIC sudah jauh hati dengan pucuk kepimpinan tertinggi Umno yang melebihkan DAP bagai menatang minyak yang penuh?

Lokman Adam yang berjawatan Pengarah Komunikasi Umno, Ketua Sekretariat Media Perpaduan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno menggelar MCA dan MIC hanya biawak hidup. 

Lokman minta MCA dan MIC buktikan mampu beri undi bukan-Melayu kepada PH-BN sebelum bertanding dalam PRN.

Lokman pertikai MCA dan MIC tidak beri undi kepada BN sejak 2008 tapi masih pegang jawatan Menteri.

Atau mungkinkah MCA dan MIC tidak diberi peluang kerana sudah ada DAP sebagai parti terbesar yang akan mewakili bukan-Melayu dan Islam?

Nampaknya PH-BN hari ini sangat bergantung kepada undi bukan-Melayu. PH-BN sedar mereka tidak mampu lagi mengharapkan undi Melayu yang sudah beralih dan bersama Gelombang Hijau PN.

Dalam keadaan genting seperti ini, DS Zahid Hamidi tersepit. Beliau gagal menjadi Pengerusi BN yang baik. Gagal mengharmonikan parti-parti komponen dalam BN.

Beliau gagal mendiamkan ahli-ahlinya yang mulut celupar dan menyakiti sesama sendiri. Beliau berdiam diri BN digelar parti korup.

Beliau tidak ambil tindakan atas kebiadaban pimpinan Umno terhadap parti komponen yang lain.

Beliau sibuk menjaga ‘kawan baru’ dan terlebih sudu dari kuah dalam membela mereka.

Apa kata Dr Mohammad Tawfik Yaakub, Penganalisis Politik Universiti Malaya?

“Bagi saya itu adalah mesej dan isyarat yang jelas bahawa MCA dan MIC telah menghantar isyarat kepada Umno itu sendiri bahawa mereka sudah tidak tahan lagi dengan sikap kepimpinan tertinggi Umno khususnya Presiden apabila bekerjasama dengan PH dan akhirnya MCA dan MIC dianaktirikan dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang.”

KAMIL ARIF BAIHAGI
Pengerusi Kelab Mahasiswa Penyokong PAS
10 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -