DAP tidak mampu sembunyi wajah sebenar

Nasrun Othman
- Advertisement -

ALOR SETAR: DAP dianggap tidak mampu menyembunyikan wajah sebenar parti itu yang sering memainkan sentimen perkauman sehingga boleh mengancam ketenteraman awam.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Nasrun Othman berkata, terbaharu kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan gelombang hijau boleh menyebabkan tokong Buddha terjejas jelas bersifat perkauman.

Katanya kenyataan itu ada unsur-unsur menghasut dan menyemai perasaan takut dan benci orang bukan Islam terhadap Islam.

“Kenyataan Pengerusi DAP terbabit boleh menanamkan benih-benih kebencian orang bukan Melayu terhadap Islam,” katanya pada kenyataan di sini.

Sabtu lepas sebuah laman berita menyiarkan kenyataan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dengan memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang agar menyekat ‘gelombang hijau’ bertapak di negeri itu.

Menurut laporan tersebut gelombang hijau akan memusnahkan rumah-rumah ibadat agama Buddha, malah orang bukan Islam juga akan berdepan dengan pelbagai sekatan.

Nasrun juga berkata, sehingga sekarang parti-parti politik Islam terus mendukung Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung sistem Raja Berperlembagaan.

“PAS tetap mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang dan asas kepada perpaduan semua kaum di Malaysia.

“Oleh itu tindakan tegas perlu diambil terhadap pemimpin DAP terbabit dan menuntut Guan Eng membuat permohonan maaf kepada umat Islam,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -