Bila teori Barat gagal, mereka tuduh orang tunggang agama

- Advertisement -

ALLAH berfirman di dalam al-Quran berkenaan asas dan formula kepada teori Ekonomi Islam:

- Advertisement -

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا }

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

[an-Nisāʾ: 29]

Bagaimana untuk menaikkan ekonomi negara sekarang mengikut kaedah Islam? Kami berpandangan kerajaan perlu mengusulkan satu aktiviti ekonomi rakyat yang tidak bergantung kepada bank. Ini kerana bank akan mengenakan kadar faedah yang tinggi kepada rakyat. 

Antara penyelesaian Islam dalam cadangan ini ialah musyarakah (مشاركة). Ini dilihat mampu menggerakkan ekonomi rakyat, iaitu apabila penjanaan wang rakyat dibina melalui ‘perkongsian’. Dengan perkongsian, tidak dikenakan faedah yang tinggi. Ini kerana faedah yang tinggi akan terus menaikkan kadar inflasi dalam negara. Melalui kaedah Islam, mampu mengawal kadar inflasi menjadi lebih rendah dan menurunkan harga barang. 

Perkongsian di dalam Islam amat mudah dilakukan.  Hanya melalui aqad persetujuan, seperti aqad musyarakah (مشاركة), mudharabah (مضاربة) dan murabahah (مرابحة). Kemudiannya perlu disusuli dengan beberapa rukun yang lain.

Teori ekonomi Barat pula tiada idea melainkan hanya menaikkan kadar OPR untuk merancakkan ekonomi. Berbeza dengan kaedah Islam amat kaya dengan pelbagai cara untuk membangunkan ekonomi, antaranya ialah seperti waqaf, zakat, ‘sustainablelity’, perkongsian, dan sukuk.

Dalam pertanian pula, Islam menawarkan muzara’ah (مزارعة), musaqah (مساقة) dan mukhabarah (مخابرة). Semua ini merupakan elemen penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dalam menyatupadukan semua lapisan masyarakat terutama gabungan pemodal (orang kaya) dan pengusaha (Muslim dan sederhana). 

Kaedah ini berpandukan kepada prinsip Islam iaitu:

تؤخذ من أغنياءهم وترد إلى فقراءهم

“Harta diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan diagihkan kepada orang miskin dari kalangan mereka.”

Prinsip dan kaedah penyelesaian Islam insya-Allah mampu menyelesaikan masalah umat dan rakyat termasuk di dalam urusan ekonomi dan politik kerana Islam adalah agama yang sempurna dan merupakan the way of life.

Namun golongan yang tidak yakin dengan  formula dari prinsip Islam tidak gemar untuk menjadikan Islam sebagai tawaran penyelesaian kepada negara dan rakyat sebaliknya lebih berbangga dengan formula dari prinsip ekonomi Barat yang menjadikan riba sebagai sumber asas di dalam mencari formula menyelesaikan masalah yang berkaitan ekonomi.

Maka dengan penuh yakin dan bangganya golongan ini menjanjikan pelbagai tawaran kepada rakyat seolah begitu yakin formula mereka adalah yang paling hebat dan bijak mampu menyelesaikan segala masalah berkaitan ekonomi negara.

Namun apabila mereka gagal menunaikan apa yang telah mereka janjikan sebelum ini, maka kesalahan itu mereka cuba letakkan kepada orang lain bagi menutup segala kesilapan mereka sendiri. Bak kata pepatah Melayu; baling batu sembunyi tangan, mereka pukul kita, mereka yang menangis.

Dulu, semasa mereka begitu yakin dengan agenda perjuangan mereka, rakyat nampak mereka boleh menyelamatkan negara dengan segala janji dan formula mereka. Tanpa segan silu, mereka mendabik dada, mendakwa merekalah pakar kepada segala penyelesaian masyarakat, kerana menyangka mereka cukup bijak apabila boleh memetik beberapa teori Barat dan ekonomi moden.

Walaupun mereka menyedari bahawa Islam juga mempunyai kaedah penyelesaian yang berpandukan al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W serta pandangan ulamak muktabar dalam bidang Siasah Shar’iyyah dan Ekonomi Islam, namun mereka kurang berminat untuk menjadikan pedoman Islam sebagai garis panduan dalam perjuangan mereka.

Sebenarnya mereka tidak peduli pun berkenaan solusi ekonomi dan politik Islam dalam mengejar perjuangan politik mereka. Tetapi apabila mereka telah gagal dengan segala teori yang mereka ada, maka mereka salahkan golongan yang ingin memperjuangkan agenda Islam sebagai orang yang menunggang agama.

Golongan politik Islam ini telah berusaha dengan segala kaedah dan cara untuk memberikan kefahaman kepada rakan politik mereka dan rakyat, bahkan kepada kerajaan, betapa sistem Islam itulah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat. 

Amat mudah bagi mereka menggunakan label penunggang agama sebagai alasan menutup kegagalan idea dan prinsip perjuangan mereka. Sekiranya mereka benar-benar ingin menjaga Islam dengan prinsip perjuangan mereka, maka di manakah kaedah Islam dalam ekonomi dan  politik menurut pandangan mereka?

USTAZ MOHD SYAKIRIN HUSAIN
Pengerusi, 
Lajnah Institut Kajian dan Strategi,
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -