RM8 bilion pelan jangka panjang selesai air di Kelantan

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan memerlukan dana sebanyak RM5 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di negeri itu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah bagaimanapun berkata, untuk pelan jangka panjang sebanyak RM8 bilion dipohon sebelum ini kepada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya Perdana Menteri baru-baru ini mengisytiharkan peruntukan sebanyak RM500 juta dilulus sebagai permulaan daripada dana RM1.7 bilion untuk Kelantan.

“Perkara itu turut dipersetujui jawatankuasa bersama yang dibentuk bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan, ” katanya di sini.

Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilapor berkata, keperluan sebenar diperlukan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan hanya sekitar RM1.7 bilion dan bukannya RM8 bilion sebagaimana yang dipohon kerajaan negeri.

Mohd Amar menyifatkan Rafizi tidak faham kerana permohonan RM8 bilion untuk keperluan keseluruhan, sebagai pelan jangka panjang.

Menurutnya anggaran kos tersebut dibuat melalui kajian keperluan termasuk projek pembinaan loji rawatan air, penukaran paip usang dan pelbagai lagi.

“Program-program berkaitan semuanya kita dah angkat kepada Kerajaan Persekutuan, hanya tunggu kelulusan sahaja.

“Saya kira dia (Rafizi) tak faham atau tak tahu, mungkin dia pening dengan formula dia sendiri pun kita tidak tahu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -