Usah keterlaluan mainkan isu ‘musuh Allah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat berpendirian tidak sewajarnya sesetengah pihak bertindak keterlaluan terhadap pendakwah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli atas salah tafsir doa beliau semasa program Kedah Berselawat di Alor Setar baru-baru ini.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya berkata, doa itu telah ditafsirkan pihak tertentu dalam konteks lapangan politik yang menuduh doa tersebut bersifat politik, sedangkan tohmahan mereka itulah sebenarnya mempolitikkan keadaan.

“Sepatutnya pihak yang berada dalam keadaan ‘cacing kepnasan’ itu mengambil ibrah terhadap ucapan penuh yang disampaikan oleh Al-Fadhil Syeikh. Pelbagai nasihat, panduan serta motivasi lain yang diketengahkan oleh beliau tetapi tidak diambil berat pun.

“Konteks ‘musuh Allah’ itu juga mempunyai tafsiran tersendiri khusus bagi persejarahan negeri Kedah. Kehadiran musuh-musuh ini telah memporak-perandakan keamanan serta kemakmuran tamadun sejarah yang dilakar di bawah Kerajaan Kedah Tua dahulu kala.

“Doa Syeikh Zainul Asri itu menjurus supaya Allah SWT memberi perlindungan kepada negeri ini daripada diracik oleh musuh-Nya,” jelas beliau memahamkan salah tafsir tuduhan terhadap doa itu.

Menurut beliau, Dewan Ulamak PAS mengharapkan keadilan buat Syeikh Zainul Asri selain menghormati ‘due process’ daripada pihak berkuasa dalam siasatan yang dilakukan terhadap pendakwah itu.

Dewan Ulamak PAS ujarnya, bersolidariti dan mengharapkan seluruh umat Islam yang cintakan para ulama agar bersama-sama mempertahankan kesucian para ulama daripada cercaan dan celaan manusia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut menyentuh hal tersebut juga disifatkan oleh Ustaz Ahmad telah jauh ketinggalan maklumat, bahkan dilihat cuba menjadikan isu itu sebagai mainan dan kempen politik.

Kerana katanya, isu-isu turut dibangkitkan sama oleh Anwar semalam semasa program korban di Permatang Pauh itu hakikatnya telahpun diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama. – HARAKAHDAILY 1/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -