Anugerah Labbaittom: Arab Saudi iktiraf Tabung Haji

Foto daripada Facebook Tabung Haji.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi menerima pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labbaittom bagi kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Urusan Haji.

- Advertisement -

TH dalam satu kenyataan memaklumkan anugerah berkenaan disampaikan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu majlis yang dihadiri pelbagai negara di Makkah, semalam.

Mohd Na’im dalam kenyataan itu berkata sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai model terbaik dunia dan merupakan model pengurusan haji yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa.

Jelasnya, antara kriteria anugerah itu ialah dari segi penerapan teknologi untuk menyelaraskan perkhidmatan kepada jemaah haji, persediaan ibadat dan kursus haji, peratusan kadar kepuasan jemaah haji dengan perkhidmatan ditawarkan dan penilaian perkhidmatan disediakan sepanjang musim haji.

“Perkara ini dapat dilihat melalui kesiapsiagaan TH dalam aspek pengurusan haji di Tanah Suci seperti penyediaan prasarana di bangunan penginapan jemaah haji, pejabat perkhidmatan Maktab, pejabat perkhidmatan pelanggan, perkhidmatan kesihatan, penggunaan aplikasi THhujjaj dan perkhidmatan petugas haji dan pembimbing ibadat haji,” katanya.

Turut hadir pada sesi penyampaian anugerah itu ialah Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pihak pengurusan TH di Makkah.

Menurut kenyataan itu, pada Februari lepas, TH juga telah memenangi Anugerah Labbaittom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam daripada Kerajaan Arab Saudi dan ia merupakan satu lagi pengiktirafan kepada Malaysia.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Mohd Na’im mengucapkan tahniah kepada pengurusan tertinggi dan seluruh warga kerja TH atas pencapaian yang membanggakan tersebut.

“Inilah apa yang sentiasa saya mahukan kepada pihak pengurusan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia. Pencapaian adalah sesuatu yang amat membanggakan.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa memberikan kepercayaan penuh kepada TH. Ia adalah satu amanah besar kepada kami,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -