PKINK lebar sayap perniagaan di luar Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kumpulan PKINK kini sedang merangka Pelan Perniagaan lima tahun 2024-2028 dengan mengambil kira aspek kelestarian dan kemampanan, ekonomi digital serta teknologi tinggi.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Aziz Yunus berkata, ia sebagai persediaan menghadapi kepesatan pembangunan di Kelantan.

Antaranya pembangunan Lebuh raya Central Spine Road (CSR), Lebuh raya Pantai Timur 3 (LPT3), Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita harus sedar akan cabaran dan mengambil tahu peluang semasa yang ada di sekeliling kita kerana kini banyak pembangunan infrastruktur di bawah peruntukan kerajaan Pusat sedang dilaksanakan.

“Ini akan menjamin kemudahan pengangkutan bagi tujuan urusan import dan eksport syarikat tempatan serta mengambil kira potensi pertumbuhan industri, perdagangan dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Anugerah Penarafan Bintang dan Perkhidmatan Cemerlang Kumpulan PKINK Tahun 2022 di Hotel Grand Riverview di sini hari ini. (Foto atas)

Selain anugerah penarafan bintang, pada majlis itu turut dilancarkan buku polisis tadbir urus patuh syariah yang disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah; anggota Exco kerajaan Negeri, Dato Mumtaz Md Nawi, Dato Dr Izani Husin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Norazman Abdul Ghani.

Ab Aziz berkata, pelan tersebut juga akan menitikberatkan peralihan kepimpinan dalam pengurusan 13 syarikat kumpulan PKINK dalam pelbagai sektor ekonomi di Kelantan.

Selain itu pihaknya juga menekankan terhadap pemberdayaan kakitangan sama ada ‘upskill atau reskill’ mesti diperkukuhkan bagi memenuhi hasrat PKINK memperluaskan urusniaga di peringkat negara.

“Perancangan kita untuk memperluaskan perniagaan dan tidak tertumpu di Kelantan sahaja, malah ke luar negeri, ini menunjukkan kumpulan PKINK bersedia dan mampu bersaing dengan syarikat luar.

“Manual Autoriti Korporat juga meletakkan sekurang-kurangnya satu peratus dari bajet agensi mesti diperuntukan bagi memberi latihan kepada anggota yang ada dalam PKINK,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2023

- Advertisement -