Eizlan terharu diterima semua peringkat PAS

Eizlan (kiri) bergambar dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah).
- Advertisement -

ALOR SETAR: Datuk Seri Eizlan Yusof mengakui terharu dengan penerimaan luar biasa kepimpinan tertinggi PAS sehingga peringkat akar umbi sejak menjadi ahli parti itu seminggu lalu.

“Sejak menyertai PAS bersama-sama Tan Sri (Annuar Musa) minggu lalu, saya merasai sendiri penerimaan mereka yang sangat mengalu-alukan penyertaan kami dengan tangan terbuka.

“Sejujurnya, sebelum membuat keputusan menyertai PAS, saya risau apakah parti itu menerima saya kerana dari bidang hiburan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall dan Dialog Muafakat Nasional (MN) Negeri Kedah di sini, hari ini.

Eizlan yang juga Ahli Dewan Tertinggi Muafkat Nasional berkata, beliau telah mengikuti beberapa siri Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Kelantan dan Kedah, sejak kira-kira seminggu lalu.

Kehadiran Eizlan ke setiap siri ceramah sebagai memberi sokongan kepada Annuar, namun tidak menyangka beliau turut disambut mesra sebagai ahli keluarga Pas, bukan sebagai figura seni semata-mata.

Eizlan mengambil keputusan menyertai PAS bersama-sama Annuar Musa sejak kira-kira seminggu yang lalu.

“Contohnya di Kelantan, saya disambut mesra Dato’ Panglima Perang, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula menyifatkan penyertaan saya dan Tan Sri (Annuar) memberi impak besar.

“Malah ketika di Negeri Sembilan, minggu lalu, Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri yang umumkan penyertaan saya ke dalam Pas kepada media,” katanya terharu.

Susulan itu, Eizlan menyifatkan penerimaan beliau ke dalam PAS memberi semangat dan kekuatan untuk perkasakan agama dan bangsa untuk bersama-sama parti itu.

Sebelum ini, keputusan pelakon filem Town Mall itu menyertai PAS mendapat pelbagai reaksi dari pemerhati politik dan media tempatan kerana pernah bertanding bawah tiket Parti Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. – HARAKAHDAILY 23/6/2023

- Advertisement -