Letupan di Paris: 37 cedera, 2 hilang

Asap berkepul-kepul kelihatan dari runtuhan bangunan di Place Alphonse-Laveran di arrondissement ke-5 Paris, Perancis pada 21 Jun 2023. (FOTO: AFP/Abdulmonam Eassa)
- Advertisement -

PARIS: Satu letupan kuat meledak di  jalan raya  berhampiran Latin Quarter yang bersejarah di Paris, mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang dan penyelamat sedang mencari dua orang hilang yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang sebahagiannya runtuh dalam letupan itu.

Letupan itu menggemparkan laluan Rue Saint-Jacques dari Katedral Notre-Dame de Paris ke Universiti Sorbonne, pada lewat petang Rabu (21 Jun), dan empat daripada mangsa yang cedera sedang bertarung nyawa di hospital, lapor Reuters.

Kejadian itu berlaku pada jam 4.55 petang ( 11.10 malam waktu Malaysia) melibatkan sebuah bangunan di Place Alphonse-Laveran di arrondissement ke-5 (salah satu daripada 20 daerah di Paris), ketika golongan pekerja sedang pulang ke rumah masing-masing.

Kawasan itu sering dikunjungi pelancong dan pelajar asing pada awal musim panas tetapi tidak ada tanda langsung bahawa ada warga asing antara mangsa.

- Advertisement -

Laluan Rue Saint-Jacques ke hospital tentera Val de Grace melalui Latin Quarter yang terletak beberapa blok dari Jardin du Luxembourg yang popular dalam kalangan pelancong, terkenal sebagai lokasi penginapan ramai golongan penulis, pemuzik dan pelukis Perancis dan luar negara sejak sejak sekian lama.

Sejurus letupan itu, penghun di bangunan berdekatan telah dipindahkan, dan seorang wanita dilaporkan pengsan di jalan raya berhampiran lokasi kejadian.

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin berkata bahawa anjing penghidu telah mengambil bau di bawah timbunan batu yang runtuh berselerak di Rue Saint-Jacques, dan lebih 320 anggota bomba dan 200 polis terlibat dalam mengawal keadaan di lokasi kejadian.

“Mungkin malam ini kita akan menemui mayat atau mungkin yang terselamat,” kata Darmanin kepada pemberita di tempat kejadian letupan.

Saksi menggambarkan letupan itu memekakkan telinga dan bola api gergasi yang menjulang  setinggi beberapa tingkat.

Pihak tentera pula membantu meletakkan penghadang keselamatan di sekitar tempat kejadian; dan dalam pada itu, pejabat pendakwa raya Paris berkata masih terlalu awal untuk menyatakan punca letupan itu.

Namun, Timbalan Datuk Bandar tempatan, Edouard Civel, merujuk kejadian itu kepada letupan gas dalam catatan Twitternya dan saksi memberitahu BFM TV terdapat bau gas yang kuat beberapa saat sebelum letupan itu.

“Kedai saya bergegar kuat, rasanya seperti letupan bom,” kata Rahman Oliur yang menguruskan sebuah kedai makanan beberapa pintu di jalan dari Akademi Amerika.

Pekerja bar Khal Ilsey, berkata dia mendengar  bunyi ‘letupan besar’ sebelum berlari keluar dan melihat api yang ganas di hujung jalan.

Api yang marak kelihatan dari runtuhan bangunan di Place Alphonse-Laveran di arrondissement ke-5 Paris. (FOTO: AFP/Abdulmonam Eassa)

Pendakwaraya Paris, Laure Beccuau pula berkata, tanda awal adalah letupan itu berasal dari dalam bangunan yang runtuh itu. 

“Penyiasat akan melihat sama ada keadaan bangunan tersebut melanggar peraturan atau jika seseorang individu telah bertindak tanpa penjagaan keselamatan yang sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, pada Jan  2019, kebocoran gas menyebabkan letupan yang meragut empat nyawa dan mencederakan 66 di arondisemen ke-9 Paris. 

Pada bulan April tahun itu, kebakaran berlaku di Katedral Notre-Dame, memusnahkan sebahagian besar bumbung dan menyebabkan kerosakan lain sebelum ia berjaya dipadamkan. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -