Kapten Manchester City, Gundogan sertai Barcelona

- Advertisement -

Ilkay Gundogan akan menyertai Barcelona secara percuma dari pemenang treble Manchester City, selepas mengetuai kelab Inggeris itu menjuarai Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu.

Ini menamatkan tempoh tujuh tahun yang hebat di England apabila dia memenangi 14 piala, termasuk lima kejuaraan liga.

- Advertisement -

Gundogan adalah pemain pertama yang dibawa masuk ke City selepas Pep Guardiola mengambil alih kelab itu pada 2016 walaupun pemain Jerman itu diketepikan kerana kecederaan lutut apabila ditandatangani dari Borussia Dortmund.

Dia terbukti menjadi pemain yang menyerlah dalam perlawanan utama City, terutama sepanjang dua musim lalu apabila menjaringkan gol penting yang membantu City melakar beberapa piala.

Gundogan meninggalkan City setelah membuat lebih daripada 300 penampilan, menjaringkan 60 gol.

Pengalamannya akan menjadi amat bernilai kepada jurulatih Barca, Xavi selepas pemain tengah Sepanyol yang sudah lama berkhidmat, Sergio Busquets meninggalkan kelab itu pada penghujung musim selepas 18 tahun bersama pasukan Catalan itu.

Barcelona memenangi kejuaraan LaLiga musim lalu, tetapi gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Liga Juara-Juara, selain tersingkir pada separuh akhir Copa del Rey. – REUTERS