140 kanak-kanak yatim di Kelantan angkara Covid-19

Mumtaz Md Nawi (belakang, kiri) dalam Majlis Pelancaran Dasar Anak Yatim Islah Kelantan dan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Muqarrabun di Kota Bharu, Kelantan pada 21 Jun 2023. (FOTO: U-KeKWa)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 10.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia menjadi anak yatim akibat pandemik Covid-19, yang menyaksikan 4,696 daripada jumlah itu adalah di Malaysia dan 140 daripadanya di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, senario tersebut adalah antara sebab Dasar Anak Yatim Islah Kelantan 2022 telah digubal kerajaan negeri sebagai kerangka dan panduan bagi memastikan kebajikan golongan terbabit lebih terbela.

“Jumlah keseluruhan anak yatim dan anak ibu tunggal di Kelantan pula kini mencecah seramai 12,680 orang,” katanya.

- Advertisement -

Menurutnya, bagi menjayakan agenda membantu golongan tersebut, Majlis Perwakilan Anak Yatim yang ditubuh turut dianggotai ikon anak yatim yang dipilih kerana mereka lebih memahami segenap aspek bagi memberi motivasi, sokongan pemeliharaan, perlindungan, kebajikan dan perkembangan anak yatim.

“Biarpun Kelantan mempunyai Dasar Kanak-Kanak Fitrah Kelantan 2018, namun pendekatan yang berbeza diperlukan dalam membangunkan anak-anak yatim. 

“Ia bermula dengan hak dan tanggungjawab terhadap anak yatim, berkaitan penjaga, waris, agensi, korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan dalam usaha membantu golongan terbabit mengikut tatacara syariah dan negara,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Anak Yatim Islah Kelantan dan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU)Muqarrabun Kelantan, semalam.

Tambah beliau, Gagasan OKU Muqarrabun merupakan suatu pelan tindakan dalam usaha menyantuni OKU selaras tuntutan syarak. 

“Sehingga kini pelbagai usaha dilaksanakan oleh Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Negeri Kelantan (MPPOK) dan aktivis OKU bagi memastikan golongan itu terus mendapat sentuhan agama,” jelasnya.

Beliau berkata, sehingga 31 Januari lepas seramai 45,277 penduduk Kelantan mendaftar sebagai OKU berbanding jumlah keseluruhan OKU mendaftar di Malaysia seramai 637,537 orang. 

“Jumlah itu menunjukkan kira-kira 2.6 peratus penduduk Kelantan ialah OKU. Ia juga mendorong kerajaan negeri mengubal Dasar Orang Kurang Upaya Muqarrabun Kelantan (DOKUM),” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -