Macron kritik projek Perisai Langit Eropah

Pesawat jet pejuang pelbagai fungsi, Dassault Rafale terbang dalam acara Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023 di Lapangan Terbang Paris Le Bourget, di utara Paris, pada 19 Jun 2023. (FOTO: Ludovic Marin, Pool/AP)
- Advertisement -

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron secara terbuka mengkritik rancangan Jerman untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udara Eropah melalui yang dikenali sebagai projek European Sky Shield (Perisai Langit Eropah).

Projek yang dilancarkan pada hujung tahun lepas  dianggotai ahli dari 17 buah negara Eropah,  tetapi tidak termasuk Perancis itu bertujuan untuk disepadukan dalam sistem pertahanan udara dan peluru berpandu  Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Diterajui oleh Jerman, ia turut dianggotai 14 sekutu NATO termasuk, Belgium, Bulgaria, Czechia, Estonia, Hungary, Latvia, Lithuania, Belanda, Norway, Slovakia, Slovenia, Romania, United Kingdom.

Pertemuan persidangan selama sehari  itu berlangsung di luar Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023, acara terbesar di dunia yang memberi tumpuan kepada industri penerbangan dan angkasa lepas.

Kerajaan Perancis percaya projek itu tidak memelihara kedaulatan Eropah dengan secukupnya, kerana ia dijangka sebahagian besarnya berasaskan industri AS dan Israel. 

- Advertisement -

Macron berkata demikian dalam ucapan penutup pada Isnin (19) Jun waktu tempatan, dalam persidangan di Paris yang mengumpulkan menteri pertahanan dan wakil lain dari 20 negara Eropah termasuk Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, lapor lemonde.fr.

Selain Jerman, antara negara yang mengambil bahagian dalam persidangan terdiri daripada United Kingdom dan Sweden serta negara jiran Ukraine, Poland, Slovakia, Hungary dan Romania, serta turut hadir ialah wakil NATO dan Kesatuan Eropah (EU)).

Terdahulu, Canselor Jerman, Olaf Scholz pada sidang akhbar awal Isnin di Berlin bersama Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata, dengan inisiatif Perisai Langit Eropah, kami menghimpunkan negara-negara Eropah untuk bersama-sama meningkatkan perlindungan terhadap peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.

Tampilkan sistem Israel Arrow 3

Pelan yang diketuai Jerman itu dijangka menampilkan sistem Israel Arrow 3 dan membina keupayaan peluru berpandu Patriot AS sedia ada; dan dalam ucapannya itu, Scholz tidak merujuk kepada bantahan Paris terhadap inisiatif projek berkenaan.

Emmanuel Macron (kiri) di samping Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury, kanan dalam acara Pameran Udara Antarabangsa Paris di Lapangan Terbang Paris Le Bourget pada 19 Jun, 2023. (FOTO: Ludovic Marin, Pool/AP)

Projek pertahanan telah menjadi isu pertelingkahan yang berulang antara kedua-dua negara, dengan Perancis menegaskan bahawa Jerman tidak melakukan usaha  cukup di kawasan itu (Eropah) selama bertahun-tahun – sehingga perang di Ukraine menyebabkan Berlin mengumumkan peningkatan ketara kepada perbelanjaan ketenteraan.

Macron turut berkata bahawa sistem antipeluru berpandu Mamba yang dibangunkan bersama oleh Perancis dan Itali ‘kini digunakan dan beroperasi di Ukraine, melindungi pemasangan dan nyawa utama’. 

Penghantaran sistem ke Kiev telah diumumkan oleh Paris dan Rom pada Februari  tahun ini yang didakwanya  sebagai ‘benar-benar Eropah melindungi Eropah’, yang mana sistem Mamba adalah sebahagian daripada pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu NATO.

Kurang bergantung kepada AS

Dalam pada itu, Macron juga menyeru negara-negara Eropah agar membangunkan sendiri strategi perlindungan ruang udara masing-masing, tanpa terlalu tidak terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat.

Model, jet yang dibangunkan oleh Perancis, Jerman dan Sepanyol dikenali sebagai Future Combat Air System (FCAS) antara yang dipamerkan dalam Pameran Udara Antarabangsa Paris 2023, yang mana ia direka untuk menggantikan Eurofighter dan Rafale Dassault dengan gabungan pesawat berawak dan tanpa pemandu.(FOTO: REUTERS/Benoit Tessier)

“Rundingan itu termasuk pertempuran anti-dron dan pertahanan peluru berpandu balistik, kata penganjur persidangan itu,, sambil menyatakan bahawa pencerobohan berskala penuh Moscow ke atas Ukraine telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peralatan tersebut. 

“Kita perlu tahu apakah situasi ancaman… Dan kemudian, apa yang kita, orang Eropah, mampu hasilkan? Dan apa yang perlu kita beli?” katanya sambil memberi amaran  supaya tidak membeli dengan sembrono ‘apa yang ada di rak jualan’.

Sehubungan itu, Macron mendorong pengeluar peralatan pertahanan Eropah untuk membina sistem ketenteraan bebas dan menempatkan semula pengeluaran di benua itu; dan beliau juga menyeru agar standard Eropah dipertingkatkan.

“Mengapa kita masih perlu membeli barangan Amerika Syarikat dengan terlalu kerap? Kerana rakyat Amerika telah menyeragamkan lebih banyak daripada kita, dan ia sendiri mempunyai agensi persekutuan yang memberikan subsidi besar-besaran kepada pengilang mereka,”  katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -