Umno bersama DAP sama macam PAS dahulu?

- Advertisement -

BALIK : Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyanggah kenyataan dangkal daripada pihak Umno yang menyamakan hubungan parti itu dengan DAP adalah seperti kerjasama terdahulu pernah dilakukan PAS.

Jelas beliau, PAS bersama DAP khususnya menerusi Pakatan Rakyat (PR) dahulu tanpa sama sekali memberi ‘walak’ mahupun dikawal oleh parti tersebut, berbeza dari Umno yang kini tidak lagi memegang prinsip perjuangannya.

Menurutnya, PAS boleh bersama DAP sebagai barisan pembangkang ketika itu kerana wujud usaha dan perbincangan bagi menentang isu-isu seperti ketirisan dan kebobrokan yang berlaku di pihak pemerintah kerajaan.

“Bukan kita buat (tahaluf siyasi) secara sembarangan. Kalau kita ni nak sangat kuasa, kebulur untuk nak jadi menteri, nak jadi menteri besar, nak jadi Exco, kita akan (terus) berpakat dengan DAP dalam PR,” ujarnya berucap pada Pelancaran Jentera Bantu Pilihan Raya PAS Telok Bahang, di sini semalam.

Katanya, PRU14 memperlihatkan pengajaran khususnya kepada orang Melayu-Islam di mana DAP walaupun dengan kerusi yang bukan majoriti, tetapi cukup mempengaruhi kedudukan, bahkan menguasai Putrajaya.

Sambungnya, DAP lebih awal menunjukkan sikap menentangnya terhadap PAS dan keluar daripada Barisan Alternatif (BA) sebelum itu kerana ketegasan PAS terhadap Dokumen Negara Islam.

“Ini prinsip perjuangan kita. Dalam kita berpolitik, kita meletakkan maslahah ummah dan maslahah agama mengatasi segala-galanya,” ujarnya menangkis pelbagai tohmahan dan label buruk pernah dipalitkan kepada PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai turut menceritakan revolusi di peringkat ahli-ahli Umno dan penyokong Pakatan Harapan (PH) atas penipuan dilakukan para pemimpin mereka pada PRU15.

“Bukan satu benda mustahil orang-orang Cina menolak DAP kerana mereka ni pun pantang tok nenek juga jenis tipu-tipu ni. Mereka tak boleh terima pemimpin yang menipu. Dulu kamulah duduk menyanyi ‘hoi hoi ya hoi‘. 

“Penyamun, penyangak apa yang kamu (PH) tak kata? Sekarang kes 1MDB kamu senyap. Dulu kes LCS kamulah yang bangkitkan. Pada maruah orang Cina mereka nak tengok pemimpin yang cakap serupa bikin,” ujarnya lagi.

Begitu juga menurutnya di pihak ahli bawahan Umno sukar menerima DAP kerana sering mempertikaikan dasar Bumiputera, selain menghina orang Melayu dan membangkitkan sensitiviti lain. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -