PM umum apa yang telah dilaksanakan KASA – Tuan Ibrahim

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan sebagaimana yang diumumkan.

- Advertisement -

Bagaimanapun, menurut beliau, sebenarnya tiada yang baru dalam pengumuman Perdana Menteri itu walaupun ianya diumumkan beberapa kali.

Katanya, ia hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika beliau menerajui kementerian itu. 

“Alhamdulillah, demi kesejahteraan dan kebaikan, ia sememangnya wajar diteruskan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menerusi hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Beliau menjelaskan, projek Loji Rawatan Air (LRA) Tok Bali bukanlah satu projek yang baharu, ia sekadar perubahan nama dari LRA Semerak yang dinamakan KASA.

Menurutnya lagi, penamaan LRA Semerak ketika itu dibuat kerana ianya dibina di tepi Sungai Semerak dan di atas tanah milik JPS Semerak.

“Insya-Allah, saya yakin projek LRA akan siap sebagaimana jadual dan akan memberikan kebaikan untuk rakyat,” ujar beliau.

Pada Ahad lalu, Anwar berkata sebanyak RM500 juta disalurkan segera bagi projek LRA Tok Bali dan penggantian paip air di Bachok.

Beliau menyatakan perkara itu pada Program Temu Anwar Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok. – HARAKAHDAILY 19/6/2023

- Advertisement -