Amalan 10 hari pertama Zulhijjah

- Advertisement -

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

- Advertisement -

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879 – Status: Hadis Hasan)

Pengajaran:

Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya “hari-hari yang sepuluh” iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hingga 10 Zulhijjah). 

Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).

Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

Allah suka kepada hamba-Nya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1 hingga 10 Zulhijjah).

Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1 hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1-9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir, tilawah, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban serta pelbagai amal soleh yang lain.

Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9 Zulhijah (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir.

USTAZ KAMAL ASHAARI
Ahli Parlimen Kuala Krau
Mudir KOMTAQ
18 Jun 2023 / 29 Zulkaedah 1444 – HARAKAHDAILY 18/6/2023

- Advertisement -