SHAH ALAM: PAS pernah berdepan krisis perpecahan dalam parti selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) membolehkan parti itu membuat proses pembersihan sehingga PAS semakin mantap sekarang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, konflik yang berlaku dalam parti termasuk kepimpinan Dewan Pemuda PAS menyebabkan kawan-kawan memintanya menerajui dewan terbabit.
“Mereka minta ana kembali dalam Dewan Pemuda pada 2015. Ana pun lihat kawan-kawan dengan berat hati dan bersetuju untuk masuk bertanding dan berlawan dengan Suhaizan Kaiat.
“Berlaku pertandingan tiga penjuru dan Alhamdulillah sebagaimana seluruh parti PAS bertanding di semua peringkat pada 2015 dengan suasana yang agak tegang. Alhamdulillah Dewan Pemuda PAS berjaya melaluinya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam slot Bicara Tarbiyah dan Perkaderan Pemuda PAS di I-City Convention Centre, di sini semalam.
Beliau walaupun terkilan dengan perpecahan PAS yang berlaku ketika itu sehingga ada pimpinan dan ahli keluar daripada parti bagi mewujudkan parti baharu. – HARAKAHDAILY 18/6/2023