LCS: Tiga saksi beri keterangan prosiding PAC hari ini

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengadakan lawatan kerja dan prosiding berhubung perkembangan kemajuan projek kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

- Advertisement -

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata tiga saksi telah memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding yang diadakan bermula 2.30 petang hingga 6 petang tadi di Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, Perak.

Beliau berkata mereka yang memberi keterangan dan penjelasan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Datuk Dr Shahrazat Ahmad, Ketua Lembaga Pengarah Boustead Naval Shipyard (BNS) Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS Azhar Jummat.

“PAC juga mengambil masa selama kira-kira dua jam untuk melihat sendiri status pembinaan subjek prosiding iaitu Kapal Peronda Generasi Kedua – LCS bermula pada pukul 10 pagi,” katanya.

Beliau berkata prosiding itu memfokuskan tentang laporan kemajuan projek LCS yang perlu dibentangkan oleh Kementerian Pertahanan setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan selaras dengan syor PAC Parlimen ke-14 sebelum ini.

“PAC komited untuk membentangkan Laporan Kemajuan Projek LCS, yang akan menyentuh kemajuan pembinaan LCS yang dicapai dari Oktober 2022 hingga Mei 2023 untuk dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 yang akan diadakan bermula 9 Okt hingga 30 Nov depan,” katanya.

Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun telah disiapkan, walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.08 bilion kepada BNS. – BERNAMA

- Advertisement -